Thursday 25 August 2016

Sultan Johor bidas Dr M tak layak bicara perpaduan

mahathir johor
PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap komen konsep Bangsa Johor yang dikatakan mampu memecah-belahkan kesatuan persekutuan.

Menurut baginda, Dr Mahathir tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan dirinya jahil dan tidak mengetahui sejarah dan terma “Bangsa Johor” diperkenalkan.

“Moyang saya, Sultan Sir Ibrahim membuat seruan ‘Bangsa Johor’ pada 1920 sebagai langkah menyatu-padukan pelbagai kaum di Johor di bawah satu bendera demi perpaduan, keharmonian dan keamanan. Tiada bangsa atau individu yang dipinggirkan. Almarhum terbukti benar.

“Konsep Bangsa Johor diamalkan sebelum Tun Mahathir dilahirkan lagi. Beliau nampaknya tidak sedar dengan apa yang dikatakannya,” kata baginda, seperti yang dilapor akhbar The Star.

Semalam, Dr Mahathir menegur sesetengah pihak yang menggunakan retorik kenegerian antaranya Johor sehingga menyentuh soal keluar daripada persekutuan Malaysia.

“Kita sepatutnya menggelarkan diri sebagai bangsa Malaysia, bukan sebagai bangsa Johor atau Kedah. Ia akan memecahkan kesatuan persekutuan,” katanya ketika diminta mengulas istilah “Bangsa Johor” yang kerap digunakan oleh sesetengah pihak.

Sultan juga menyifatkan Dr Mahathir sebagai seorang yang tidak layak bercakap mengenai perpaduan.

“Beliau yang memecah-belahkan rakyat termasuk orang Melayu, manakala saya menyatukan rakyat Malaysia semua kaum termasuk orang Melayu.”

Oleh itu, Sultan Johor berharap Dr Mahathir agar memahami sentimen negeri yang membawa kebanggaan tersendiri dan ia tidak bermakna mereka melupakan semangat Persekutuan

“Ia hanya sebahagian daripada imaginasi Dr Mahathir. Beliau sengaja menimbulkan masalah, maka saya menasihatkan beliau supaya menutup mulutnya,” titah baginda.

Tambah bagainda lagi, bekas Perdana Menteri itu meraih reputasi dengan menjadi pihak yang berkonfrontasi sehingga menyebabkan perpecahan, terutama dalam dasar hubungan luarnya.

“Tun Mahathir merupakan punca kepada masalah di negara ini, pada ketika ini. Beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam hal negeri saya. Saya tidak akan bertolak ansur dengan sikap beliau,” titah baginda.

No comments: