Wednesday 24 August 2016

India siasat dakwaan data bocor kapal selam Scorpene

Scorpene
SYDNEY/NEW DELHI: Kementerian Pertahanan India hari ini berkata siasatan akibat kebocoran data keselamatan terhadap kapal selam Scorpene milik Perancis yang dibina di negara itu sedang dilakukan, selepas dokumen berkaitan aspek mampu tempur kapal itu terbocor.
Kebocoran itu, yang dilaporkan kali pertama akhbar The Australian mengandungi lebih 22,000 muka surat menggariskan kemampuan rahsia enam kapal selam yang dibina syarikat DCNS dari Perancis itu untuk tentera laut India.
“Saya difahamkan ada kes godam. Kami akan siasat apa yang berlaku,” kata Menteri Pertahanan India Manohar Parrikar kepada wartawan.
Kapal selam itu dibina di limbungan milik kerajaan di Mumbai dan yang pertama dijangka menyertai perkhidmatan tentera pada akhir tahun ini, langkah pertama pasukan itu dalam usaha menambah kapalnya yang semakin berkurangan.
Kebocoran data besar-besaran itu juga membangkitkan keraguan mengenai kawalan keselamatan projek kapal selam DCNS di Australia di mana ia berjaya mendapatkan kontrak bernilai AS$38.06 bilion untuk membina kapal selam generasi akan datang.
“Berkaitan kejadian serius berkaitan program Scorpene India, pihak berkuasa Perancis bagi keselamatan pertahanan akan membuat siasatan rasmi dan mengenal pasti apa yang berlaku kepada dokumen bocor itu,” kata jurucakap DCNS dalam satu kenyataan.
Kebocoran data besar-besaran berkaitan kapal selam buatan DCNS Perancis itu turut membabitkan kapal yang dijual kepada angkatan tentera Malaysia, India dan Chile serta Brazil yang dijangka menggunakan kapal itu pada 2018.
Menerusi 22,400 muka surat dokumen itu, kebolehan kapal selam Scorpene itu diperincikan. Dokumen bocor itu bertanda “Restricted Scorpene India” dan mengandungi maklumat kebolehan ketenteraan kapal selam India, lapor The Australian.
Ia turut menyertakan alat sensor, sistem komunikasi dan alat navigasi, di mana hampir 500 muka surat mengenai sistem pelancaran torpedo.
Bekas pegawai tentera laut India, Uday Bhaskar, berkata jika data bocor itu diketahui umum, ia akan menjejaskan kredibiliti kapal selam berkenaan.
India kini mempunyai 13 kapal selam sudah usang, hanya separuh masih beroperasi, dan jurangnya amat besar jika dibandingkan dengan China yang kini mengembangkan kehadiran kapalnya di Lautan Hindi.
Laporan media Australia itu berkata DCNS membayangkan kebocoran itu datang dari India dan bukan Perancis.
Data yang bocor itu dikatakan sudah dipadam pada 2011 oleh seorang bekas anggota tentera laut Perancis yang merupakan pekerja kontrak DCNS.
Data yang bocor itu dipercayai menyusup masuk ke beberapa syarikat di Asia Tenggara sebelum tiba di Australia, lapor The Australian.
Australia yang memberikan kontrak kapal selam kepada DCNS bagaimanapun menggunakan sistem ketenteraan sulit Shortfin Barracudas yang dibekalkan Amerika Syarikat.
- FMT

No comments: