Wednesday 24 August 2016

Arul Kanda beri penerangan tertutup mengenai 1MDB

arul kanda
SHAH ALAM: Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad Arul Kanda Kandasamy hari ini mengadakan majlis tertutup menjelaskan kontroversi yang membelenggu syarikat milik kerajaan itu.

Bertajuk “Fitnah dan Realiti 1MDB”, acara diadakan di Bangunan Selangor, Shah Alam dan hanya terbuka kepada ahli Umno. Media tidak dibenarkan masuk.

Ini kali pertama Arul Kanda mencerahkan isu 1MDB sejak ia menjadi tumpuan umum selepas Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) membuat tuntutan untuk menyita AS$1 bilion (RM4 bilion) aset yang dikaitkan kepada 1MDB.

Aset berkenaan sebahagian AS$3.5 bilion yang didakwa dilesapkan daripada syarikat milik kerajaan itu.

Ia termasuk hartanah, hasil seni, pesawat jet peribadi dan perolehan daripada filem “The Wolf of Wall Street”, yang dihasilkan oleh Red Granite, syarikat anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Susulan tindakan DoJ, 1MDB melalui satu kenyataan media berkata bukan ia yang dinamakan dalam tuntutan itu itu, tidak punyai aset di AS, dan tidak menerima manfaat daripada pelbagai transaksi yang digambarkan dalam tuntutan itu.

“Tambahan pula, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atau mana-mana agensi asing menghubungi 1MDB berkenaan siasatan mereka.”

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan hanya Arul Kanda dan Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani diberi kuasa untuk bercakap mengenai 1MDB.

“Isu itu membabitkan perkara undang-undang, kewangan dan perniagaan. Hanya mereka yang punyai maklumat tepat.

“Mereka yang tidak terbabit mungkin tidak faham. Arul sedia beri penereangan ke seluruh negara,” kata Mustapa lapor media.

Kali terakhir Arul Kanda bercakap mengenai 1MDB ketika pilihan raya kecil Sungai Besar Jun lalu, apabila beliau dijemput ke satu acara anjuran Jabatan Perdana Menteri.

Menurut penjawat awam yang menghadiri acara itu, Arul Kanda menafikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib berkait dengan 1MDB.

Di acara itu, Arul Kanda mengingatkan hadirin supaya tidak dikelirukan pembangkang, yang sentiasa menyerang kerajaan tentang 1MDB.

- FMT

No comments: