Wednesday, 24 August 2016

Lelaki cedera terkena tembakan rambang di kedai makan

Image result for Lelaki cedera terkena tembakan rambang di kedai makan
Seorang lelaki cedera di betis kanan selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan seorang lelaki di sebuah kedai
makan di Bunut Payong di Kota Bharu semalam.

Dalam kejadian 2.15 pagi itu, lelaki yang melepaskan tembakan itu bersama dua lagi lelaki menaiki kereta jenis Mercedes Benz, manakala mangsa berada di kedai makan itu bersama kira-kira 20 pelanggan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata mangsa yang berusia 22 tahun itu dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata hasil maklumat diperoleh daripada saksi di tempat kejadian, suspek adalah tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Mercedes Benz berwarna perak.

"Mengikut saksi, ketika kejadian ada sebuah kereta melalui kawasan kedai makan dan secara tiba-tiba seorang lelaki keluar daripada kenderaan dan melepaskan dua das tembakan.

"Akibatnya seorang pelanggan, seorang lelaki berusia 22 tahun cedera di betis kanan selepas terkena tembakan dipercayai dilepaskan secara rambang dalam jarak antara lima hingga 10 meter," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan semalam.

Ab Rahman berkata saksi juga memberitahu kenderaan dinaiki suspek kemudian memecut ke arah Pasir Hor di sini, tetapi nombor pendaftaran gagal diperoleh kerana mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Beliau berkata siasatan awal yang dilakukan di tempat kejadian, polis menemui sebutir timah dipercayai anak peluru serta kesan tembakan pada sebuah kenderaan berdekatan.

"Polis percaya senjata digunakan adalah pistol jenis Revolver," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkannya kepada polis, manakala operasi mengesan kenderaan terbabit sudah dilancarkan termasuk mengadakan sekatan jalan raya.

Sementara itu, jihad memerangi dadah yang dilancarkan polis Kelantan menunjukkan kejayaan apabila 119 suspek berusia 16 hingga 53 tahun ditahan berkaitan pelbagai kesalahan dadah dalam operasi terbaru bermula 21 Ogos hingga semalam, di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Ab Rahman berkata dalam operasi itu pelbagai jenis dadah seperti pil kuda, syabu, heroin, ectasy dan ubat batuk bernilai RM28,000 dirampas.
Beliau berkata turut dirampas wang tunai berjumlah RM29,301 selain sebuah motosikal yang tiada nombor pendaftaran serta 68 kelongsong peluru jenis HK7.6 mm.

"Jihad perangi dadah akan dilaksanakan secara istiqamah atau berterusan oleh polis Kelantan kerana ini adalah antara empat perkara yang sudah ditetapkan.

"Namun, tiga lagi hala tuju utama kita iaitu penyeludupan senjata api, pemerdagangan manusia serta ancaman militan Daesh tetap dipandang serius," katanya.

Beliau berkata kejayaan operasi itu juga adalah hasil kerjasama orang ramai, risikan polis serta bantuan daripada agensi penguatkuasaan lain.

Operasi yang dijalankan itu umpama 'serampang dua mata' kerana selain merampas dadah, polis juga berjaya menahan kenderaan curi serta individu yang dikehendaki kerana mempunyai rekod jenayah lain, katanya.

- Bernama
Post a Comment