Thursday 14 July 2016

OPR diturunkan bukan bermakna ekonomi lemah - Bank Negara


Keputusan untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) merupakan langkah awal untuk memastikan ekonomi terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim.
"Ia bukan kerana kami menjangka pertumbuhan akan lemah pada separuh kedua. Kami menjangka ia lebih kukuh dan pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini dijangka kekal antara 4.0 dan 4.5 peratus.
"Kini, apa yang kami ingin lakukan adalah memastikan ia berlaku. Pada dasarnya, ia adalah langkah awal," katanya kepada Bernama dalam temu bual media pertamanya sejak pelantikan beliau sebagai Gabenor bank pusat pada 1 Mei, 2016.
BNM, dalam langkah yang tidak dijangka pada Rabu, menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus seperti yang diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) selama dua hari.
Kali terakhir kadar diturunkan adalah pada 2009 dan pelarasan terakhir dibuat pada Julai 2014.
Mengenai rasional penurunan kadar pada masa ini, beliau berkata antara lain ia berasaskan beberapa perkara termasuk inflasi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Inflasi dijangka rendah pada 2-3 peratus pada 2016 berbanding unjuran sebelum ini pada 2.5-3.5 peratus dan dijangka terus stabil pada 2017.
"Peluang untuk melaksanakannya ada, dan kami memutuskan mengapa tidak mengambil langkah untuk merangsang ekonomi, mewujudkan persekitaran yang bersesuaian supaya pembiayaan lebih sihat, aktiviti ekonomi dapat berkembang dan rakyat dapat menjana lebih banyak kekayaan dan pendapatan," kata Muhammad dalam nada yang tenang.
Pada masa ini, tiada rancangan oleh MPC untuk mengubah kadar faedah dalam beberapa mesyuarat yang akan datang, katanya, menegaskan bahawa bank pusat akan sentiasa melihat data secara objektif dan melihat apa yang diperlukan.
"Oleh itu, untuk mengatakan bahawa akan terdapat siri penurunan kadar adalah tidak benar, tetapi adalah benar kami akan berfikiran terbuka setiap kali kami bermesyuarat," katanya.
Muhammad berkata bank pusat, berdasarkan persekitaran yang dinamik, melihat kepada banyak faktor apabila membuat keputusan mengenai dasar monetari termasuk perkembangan di negara lain.
Bagaimanapun, keputusan mengenai dasar monetari pada asasnya berdasarkan kepada pertimbangan domestik dan sentiasa berpandangan ke hadapan.
"Dalam mana-mana dasar monetari (diputuskan) di seluruh dunia, apabila kita melihat kepada jenis tahap yang sepatutnya, kita sentiasa melihat kepada beberapa suku ke hadapan untuk melihat bagaimana ekonomi akan berkembang.
"Kita mengunjurkan pertumbuhannya pada separuh kedua 2016 dan pada 2017, dan kita mengambil pendirian kita dalam menentukan kadar faedah," jelas Muhammad yang berusia 56 tahun.
Sementara itu, Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2016 dan angka suku kedua dijangka diumumkan pada Ogos.
- Bernama

No comments: