Friday 29 July 2016

Warga Nigeria jalani hukuman tembak di Indonesia

 tembak_death1
JAKARTA: Empat orang, tiga warga Nigeria dan seorang warga tempatan ditembak mati di Penjara Nusakambangan, Indonesia, selepas disabit atas kesalahan mengedar dadah.

Skuad penembak melepaskan tembakan pada pukul 12.45 pagi waktu tempatan sekali gus mengabaikan permintaan antarabangsa untuk mengampun pesalah dan Indonesia berkeras berbuat demikian demi memerangi jenayah melibatkan dadah.

Tindakan tersebut juga meletakkan nasib 10 orang pesalah yang lain masih belum ditentukan.

Rabu lalu, Peguam Negara mengumumkan 14 tahanan, termasuk warga India, Pakistan, dan Zimbabwe akan dihukum mati pada hujung minggu ini.

Seorang pegawai berkata, hukuman akan dilaksana secara berperingkat bermula Jumaat namun enggan mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai tempoh masa berkenaan.

Ekoran pelaksanaan hukuman itu, tahap keselamatan di Kedutaan Indonesia di ibu negara Nigeria, Abuja diperketat selepas penunjuk perasaan berkumpul menggesa Indonesia menghentikan hukuman mati tersebut.

Malah, pegawai dari India dan Pakistan juga mengakui sedang membuat usaha minit terakhir untuk menyelamatkan rakyat mereka.

“Selepas mengambil kira beberapa faktor, kami memutuskan untuk melaksana hukuman mati kepada empat banduan dahulu,” kata pegawai di pejabat Peguam Negara, Noor Rachmad petik Reuters.

Indonesia melaksana hukuman mati kepada 14 banduan kebanyakannya warga asing yang terlibat dalam jenayah dadah sejak setahun yang lalu menyebabkan kemarahan pihak asing.

Berikutan itu, aktivis hak asasi dan kerajaan menekan Indonesia supaya memansuhkan hukuman mati.

Apapun, permintaan itu tidak diendahkan kerajaan Presiden Joko Widodo yang menyifatkan dadah sebagai ancaman serius umpama keganasan di Asia Tenggara yang juga pasaran terbesar untuk narkotik.

Walaupun rakyat Indonesia menerima hukuman tersebut, sekumpulan pekerja asing berkumpul di hadapan penjara meminta belas kasihan bagi seorang wanita tempatan yang dijadual akan dihukum mati.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah pula terus menggesa agar hukuman itu dihentikan.

“Hukuman mati menyalahi undang-undang dan pelaksanaan sewenang-wenangnya melanggar obligasi hak asasi manusia antarabangsa di Indonesia,” petik kata kenyataan PBB.

Amnesty International pula menyifatkan hukuman itu sebagai “tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan Indonesian” dan menggesa ia tidak sepatutnya dijalankan.

Sekitar 152 orang masih menunggu hukuman mati di Indonesia termasuk pengedar dadah dari Filipina, Perancis dan Britain.

Pihak berkuasa merancang untuk melaksanakan hukuman bagi 16 tahanan pada tahun ini dan lebih dua kali ganda jumlah itu pada tahun 2017.

- FMT

No comments: