Tuesday 26 July 2016

Perkasa salahkan Nazri ‘manjakan’ Namewee

 perkasa-namawee
PETALING JAYA : Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menuduh tindakan Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz yang prihatin terhadap Namewee sebelum ini menyebabkan tiada tindakan dikenakan terhadap penyanyi rap itu walaupun ada laporan polis dibuat.

Ketua Penerangan Perkasa Hassan Basri Muhammmad berkata disebabkan sejarah kebiadabannya yang tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa juga menyebabkan penyanyi rap itu semakin ‘besar kepala’.

“Perkasa minta jangan ada lagi tindakan berselindung di sebalik menteri yang kononnya melindungi Namewee. Nazri sendiri, kita tengok dia bawa (Namewee) pergi Parlimen, bersalam dan macam-macam.

“Kami desak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap kebiadaban budak Cina ini yang mempersendakan dan mempermainkan agama Islam sebagaimana tindakan sebelum ini,” katanya

Hassan berkata tindakan Namewee boleh mencetuskan pertembungan antara kebencian umat Islam dengan agama lain.

Semalam, The Star melaporkan Namewee tampil dengan video muziknya bertajuk “Oh My God” yang dikatakan menghina pelbagai agama.

Menjelaskan klip video itu, Namewee dalam video berasingan diberi judul “Tokok” berkata, beliau sedar ia mungkin akan diharamkan di Malaysia tetapi tetap juga mengeluarkannya dengan alasan menggalakkan keharmonian agama.

Hassan berkata Namewee sepatutnya didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia kerana tindakannya yang mencetuskan huru-hara dan fitnah, sama seperti dilakukan Alvin Tan dan Vivian Lee.

“Kita tidak menghalang kreativiti seni tetapi kalau ia menyentuh sensitiviti Islam, ini provokasi sehingga mencetuskan suasana tidak senang antara penganut Islam dan bukan Islam sendiri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata media sepatutnya tidak melayan orang seperti Namewee.

“Orang Malaysia daripada pelbagai agama kenal dia dengan imej buruk. Biar dia dipulau begitu saja.
 Orang seperti itu lagi dilayan, lagi menjadi,” katanya.

- Bernama

No comments: