Wednesday, 27 July 2016

Kenapa bukan KJ yang buat laporan polis? – Zam

 Zainuddin-Najib-KJ
KUALA LUMPUR, 27 Julai: Bagaimana Pemuda Umno boleh mengetahui laporan yang dibuat oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan 
Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kasim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail adalah sulit tanpa mereka melihat dan menilainya, soal bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin.

Katanya, beliau hairan mengapa tindakan itu hanya dibuat oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan bukan Ketuanya, Khairy Jamaluddin.

“Saya agak hairan kenapakah dalam tindakan yang bagitu penting ini yang melibatkan kepentingan maruah Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri najib Tun Razak)dan nama baik Malaysia, Khairy sendiri sebagai Ketua Pemuda Umno tidak tampil ke hadapan?

“Adakah beliau tidak mahu terlibat dalam tindakan keperwiraan Pemuda Umno mempertahankan maruah negara itu sebagai tanggungjawab parti?” soal Zainuddin lagi.

Disebabkan itu, beliau berpandangan tindakan yang diambil oleh Pemuda Umno ini telah menampakkan kesan negatif terhadap Najib seolah-olah beliau kini berada dalam keadaan benar-benar tertekan dan panik berikutan dengan laporan Jabatan Kehakiman Negara (DOJ) Amerika Syarikat.

Semalam, Khairul Azwan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan menamakan Zati, Abu Kassim dan Gani Patail) sebagai individu yang telah membocorkan maklumat mengenai syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Amerika Syarikat.

Dakwanya lagi, ketiga-tiga individu tersebut dipercayai terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan Barisan Nasional (BN) di negara ini.

Difahamkan, buat masa ini Zeti dan Abu Kassim enggan mengulas lanjut mengenai laporan polis yang dibuat terhadap mereka manakala Gani Patil pula menyifatkan tuduhan yang dilemparkan keatasnya itu hanyalah muslihat untuk mencari publisiti.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata pihak polis akan akan menyoal siasat Khairul Azwan atas laporan yang dibuatnya itu kerana ia adalah tuduhan yang serius, yang melibatkan individu terkemuka.

“kita mesti menentukan apa yang mendorong beliau untuk membuat laporan itu, dan sama ada dia boleh memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya,” kata Khalid.

- TmT

No comments: