Friday 29 July 2016

Pelajar sekolah rendah Cina junjung beg sekolah 10kg

 Deputy-Education-Minister-Chong-Sin-Woon
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan sedang mencari jalan untuk “meringankan beban” pelajar sekolah rendah Cina.

Timbalan Menteri Pendidikan, Chong Sin Woon berkata, sudah tiba masanya untuk mengkaji semula penggunaan terlalu banyak buku kerja di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina, lapor The Star Online.

“Adakah pelajar dan sekolah benar-benar memerlukan buku kerja itu? Beg terlalu berat dan kanak-kanak hadapi kesukaran menjunjungnya.

“Anda tidak melihat perkara ini di sekolah-sekolah kebangsaan atau Tamil,” kata beliau.

Menurut laporan itu, pelajar sekolah rendah Cina, khususnya di bandar mempunyai purata tiga buku kerja setiap mata pelajaran dan beg sekolah mereka boleh mencapai berat sehingga 10 kilogram.

Dalam usaha untuk menangani perkara ini, kementerian telah mengadakan pertemuan dengan Kesatuan Ketua Sekolah Kebangsaan.

Jelasnya lagi, kebergantungan terhadap buku kerja bertentangan dengan sukatan pelajaran KSSR (Standard Sekolah Rendah Kurikulum) yang sepatutnya menggunakan bahan bantu mengajar yang kreatif bagi menggalakkan pemikiran kritis dan inovasi dalam kalangan murid-murid.

Chong berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan simposium bertajuk “Revolusi Pengajaran” yang dianjurkan oleh Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC) yang mana turut membimcangkan kesan Program Dwi-Bahasa Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris dan Cina di sekolah-sekolah Cina.

- FMT

No comments: