Thursday 28 July 2016

Sultan Johor Nafi Keluar Kenyataan Berkaitan Najib

 
JOHOR BARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menafikan mengeluarkan kenyataan berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagaimana didakwa di dalam sebuah blog dan membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang menyalahgunakan nama baginda untuk membuat ulasan mengenai politik.

Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa Istana Johor mengekalkan pendirian tegas berkecuali berhubung perkara berkaitan politik negara.

Baginda bertitah perkara itu sampai ke perhatiannya apabila tersebar satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab di laman media sosial bertajuk ‘Terkini Ringgit Jatuh RM4.4’.

"Saya memandang ia sebagai bersifat memfitnah, satu perlakuan yang mengaibkan, mencalar maruah dan patut dikecam.

"Kebelakangan ini, terdapat beberapa kenyataan yang tidak wajar tersebar di laman media sosial, yang memberikan gambaran bahawa pernyataan-pernyataan tersebut dikeluarkan oleh ahli-ahli
Keluarga DiRaja Johor," kata baginda dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Rabu.

Baginda memberikan contoh pada minggu lalu bahawa seorang wanita muda dari Batu Pahat telah menyebarkan khabar angin di media sosial mendakwa Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah menitahkan larangan ke atas 'solat' dan laungan 'azan'.

Sultan Ibrahim menyifatkan tindakan wanita itu sebagai publisiti murahan yang amat menyakiti dan mendukacitakan Raja Zarith Sofiah.

Baginda bertitah keluarga DiRaja itu menggunakan media sosial sebagai perantara untuk mendekati dan berhubung dengan warga Bangsa Johor.

Justeru, Sultan Ibrahim menitahkan supaya pengguna media sosial memeriksa sumber sesuatu perkara yang dimuatnaik dalam memastikan kesahihannya.

"Jangan mengikut pandangan ramai secara membuta tuli dan mempercayai serta menyebarkan pernyataaan yang jelas salah, dan daripada sumber-sumber yang ternyata tidak boleh dipercayai.

"Sebarang kenyataan yang dikeluarkan mana-mana ahli Keluarga DiRaja Johor, hanya akan dilakukan melalui laman rasmi akaun Facebook kami," katanya.

- mStar

No comments: