Friday 29 July 2016

Permintaan cermin kenderaan kalis peluru melonjak

KUALA LUMPUR: Kita sudah biasa melihat kenderaan bercermin gelap, dengan alasan alahan cahaya matahari dan privasi.

Tetapi baru-baru ini, ada alasan baharu yang lebih serius: kehilangan nyawa.

Bimbang dengan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api, permintaan terhadap cermin kenderaan kalis peluru semakin meningkat, menurut tinjauan FMT dengan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan itu di ibu kota.

IMS Motorsport Sdn Bhd merupakan syarikat pertama seumpamanya di negara ini, tetapi kejadian jenayah melibatkan senjata api kebelakangan ini membuka peluang baharu.

Kini, ia menerima panggilan tidak henti-henti daripada mereka yang mahu memastikan keselamatan diri di dalam kereta yang kalis peluru.

Kebanyakan daripada mereka berdepan ancaman nyawa, termasuk orang kenamaan dan ahli perniagaan terlibat dengan perkhidmatan wang berlesen.

Malah syarikat itu mengakui ada juga pelanggan yang kelihatan terlibat dengan kegiatan mencurigakan yang merasakan diri mereka terancam.

Dan kini, ia juga menarik minat agensi kerajaan.

“Sekarang kita sedang membuat kertas cadangan kepada mereka,” kata pengurusnya, Howe Chin, ditemui di pejabatnya.

Kos tinggi

Bagaimanapun, memasang cermin kalis peluru bukan calang-calang harganya, dan boleh mencecah sehingga RM200,000 sebuah kenderaan.

“Ramai yang hubungi bertanyakan cermin kalis peluru kami, tetapi sampai sekarang kebanyakan orang masih mempertimbangkannya kerana kos tinggi.

“Harganya bermula dari RM140,000 hingga RM200,000 mengikut jenis kereta, dan bahannya diimport dari Eropah dan mempunyai kualiti tinggi,” kata Chin.

Menurutnya, jenis cermin yang digunakan sukar dikesan si penyerang, kerana ia seakan cermin biasa tetapi sebenarnya kalis peluru.

“Itu satu lagi yang membezakan kualiti cermin kita dengan cermin lain,” katanya.

Cermin yang dipasang syarikat ini boleh manghalang semua jenis peluru pistol tangan daripada menembusi cermin kereta, malah turut menyediakan produk yang boleh menghalang tembakan mesin gan.

“Lagi tebal mereka minta, lagi mahal harganya,” katanya.

Seperti pengawal peribadi

Chin berkata menggunakan cermin kalis peluru di jalan raya umpama ditemani pegawal peribadi.

“Kalu kita pakai tiga pengawal peribadi yang jaga kita, tetapi kalau kereta kita tidak kalis peluru, macam mana?” tanya beliau.

“Kita dengan pengawal kita juga boleh mati, sebab kebanyakan yang mati semua kena tembak dalam kereta,” katanya.

Cermin kalis peluru mula diperkenalkan di negara ini pada April 2014 oleh syarikat IMS Magna Armoring, sebuah usaha sama antara syarikat Magna Security, IMS Motorsport dan Dupont Malaysia, dan kini dimilik sepenuhnya IMS Motorsport.

Cermin yang digunakan mendapat kelulusan penuh Insititut Penyelidikan Sains dan Teknologi Malaysia (STRIDE).

Insiden pembunuhan melibatkan senjata api semakin menjadi kebelakangan ini.

Menurut polis, kebanyakan kes melibatkan kumpulan samseng yang berlawanan sesama mereka.

Rabu lepas, warga kota dikejutkan dengan kejadian menembak mati seorang pemandu Honda Accord di khalayak ramai, ketika kenderaan itu berhenti di persimpangan lampu isyarat dekat Jalan Genting Klang.

Polis berkata sebanyak 18 das tembakan dilepaskan empat lelaki bermotorsikal, dalam kejadian 3.35 petang itu.

Ia merupakan kes tembakan di khalayak ramai yang kedua dalam masa sebulan. Pada 6 Julai, seorang ejen hartanah wanita berusia 32 tahun mati ditembak ketika beliau memandu di Taman OUG, Jalan Klang Lama, bersama anaknya berusia lapan tahun.

 - FMT

No comments: