KUALA LUMPUR, 26 Julai:
Kerajaan tidak melindungi sesiapapun atau menyembunyikan maklumat
berhubung saman sivil dikemukakan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika
Syarikat bagi mendapatkan kembali aset 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) yang didakwa diselewengkan.
Menteri
Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata,
kerajaan sebaliknya telus dalam sebarang siasatan yang dijalankan
menerusi kerjasama pihak terlibat seperti Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika.
“Kita
tidak sembunyikan apa-apapun. Malah kita akan pastikan sesiapa yang
melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan sewajarnya. Ini
menunjukkan ketelusan kerajaan.
“Ini
juga menolak andaian kononnya kita akan lindungi pihak-pihak tertentu,”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Goxip.com, sebuah laman web
dan platform untuk fesyen tempatan dan antarabangsa, di sini hari ini.
Khamis lepas, Najib berkata kerajaan akan memberi kerjasama penuh berhubung saman sivil yang dikemukakan DoJ sehari sebelum itu.
Perdana
menteri menegaskan ia merupakan tindakan sivil dan bukannya tindakan
jenayah, dan katanya ia terhad kepada nama-nama yang disebutkan dalam
dokumen DoJ itu.
Salleh
berkata semua yang dinamakan di dalam saman dan tuduhan tersebut perlu
membersihkan nama mereka dan diberikan peluang untuk memberi penjelasan.
Beliau juga meminta mana-mana pihak supaya tidak membuat rumusan sendiri memandangkan siasatan baru bermula.
“Ini
masih dalam permulaan penyiasatan, jadi tidak elok kita buat rumusan.
Kita harus bersikap adil kepada semua. Tidak layak dengar separuh
sahaja. Kita patut lihat dan tunggu apa yang dilakukan jabatan
tersebut,” tambahnya.
— Bernama
No comments:
Post a Comment