KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang memberitahu
Mahkamah Sesyen hari ini beliau mengambil langkah mengklasifikasikan
laporan akhir audit 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana insiden
kebocoran maklumat pernah berlaku kepada laporan interim tahun lalu.
“Jabatan saya (Jabatan Audit Negara) menjangkakan laporan akhir itu mungkin terbocor kepada umum.
“Berdasarkan itu, kami dinasihati supaya ia diklasifikasikan sebagai rahsia supaya PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) boleh menjalankan prosiding tanpa campur tangan dan melindungi integriti Jabatan Audit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Abbas.
Beliau memberi keterangan sebagai saksi pendakwa kelima dalam perbicaraan membabitkan Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli yang berdepan dua tuduhan memiliki dan membocorkan maklumat sulit.
Rafizi didakwa mengikut Seksyen 8(1)(c) dan 8(1)(e)(iii) OSA kerana memiliki dan mendedahkan halaman 98 dalam laporan audit 1MDB pada satu sidang media, yang mana ia diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di bangunan Parlimen antara 24 dan 28 Mac pada waktu tengah hari. Jika disabitkan bersalah, Rafizi boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun.
Dalam keterangannya, Ambrin berkata beliau diberi kuasa oleh perdana menteri pada 2012 untuk meletakkan cap rahsia ke atas laporan itu.
“Saya mengklasifikasikan laporan itu di bawah OSA pada Januari sebelum laporan akhir itu dibahaskan,” katanya.
Ketika disoal Abazafree mengenai status semasa laporan 1MDB sama ada ia masih dokumen rahsia, Ambrin mengesahkan ia masih di bawah OSA.
Abazafree: Apakah alasannya (ia masih di bawah OSA)?
Ambrin: Tidak ada sebab untuk diklasifikasikan semula. PAC memutuskan laporan 1MDB itu tidak perlu dimasukkan dalam laporan prosiding PAC. Saya hormati keputusan itu.
Ketika disoal balas peguam Gobind Singh yang mewakili Rafizi, Ambrin memberitahu mahkamah 1MDB ialah salah satu syarikat milik kerajaan diwartakan untuk diaudit oleh jabatannya.
“Audit 1MDB ialah audit khas. Kami mengauditnya atas permintaan badan tertentu seperti Kabinet dan PAC. Laporan itu disediakan untuk dibentangkan terus kepada PAC.
“Ia tugas PAC jika mereka mahu membawanya kepada Parlimen,” katanya.
Gobind kemudian menyoal Ambrin jika keputusannya untuk tidak mengklasifikasikan semula itu “menyalahi undang-undang”.
Soalan itu kemudiannya dibantah Abazafree, mengatakan Ambrin tidak patut menjawabnya atas kapasitinya sebagai saksi.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnian Hassan membenarkan Gobind menyoal soalan itu.
Gobind: Tan Sri tadi ada menyebut anda menghormati keputusan PAC untuk terus meletakkan laporan 1MDB di bawah OSA. Adakah keputusan anda itu bertentangan dengan Artikel 107(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan laporan ketua audit negara perlu diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dibentangkan di Parlimen?
Ambrin: Saya tidak begitu arif (dengan undang-undang) jika keputusan saya menghormati PAC itu bertentangan dengan Perlembagaan.
Ketua audit itu juga mengesahkan dokumen yang dikemukakan Rafizi pada sidang media di Parlimen itu ialah laporannya.
Gobind kemudian bertanya jika kandungan dalam laporan itu ada asas untuk pertuduhan jenayah.
“Saya tidak mahu menjawabnya,” kata Ambrin.
Perbicaraan bersambung esok.
- FMT
No comments:
Post a Comment