Wednesday 27 July 2016

Belum ada keputusan berhubung perhimpunan BERSIH 5 (Video)

 
BERSIH masih belum mencapai keputusan sama ada untuk mengadakan satu lagi perhimpunan raksasa yang digelar BERSIH 5, pada minggu-minggu yang akan datang.

"Kita belum mencapai keputusan, kita masih perlukan lebih banyak konsultansi," kata Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan tertutup antara BERSIH dan NGO mengenai kemungkinan mengadakan satu lagi protes jalanan di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai 'mood' mesyuarat itu, Maria enggan mengulas. Difahamkan terdapat beberapa perbezaan pendapat di kalangan anggota BERSIH berhubung kerjasama dengan bekas Perdana
Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pergerakan 'Selamatkan Malaysia' yang diterajuinya.

Mahathir yang mendesak penyingkiran Perdana Datuk Seri Najib Razak, telah dipersalahkan oleh beberapa aktivis NGO sebagai sumber banyak masalah yang dihadapi oleh negara hari ini.

Maria pada minggu lepas berkata perhimpunan itu dalam perancangan ekoran tindakan undang-undang sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) untuk merampas aset berjumlah AS$1 bilion yang dibeli dengan dana yang didakwa "dicuri" dari 1MDB.

Ketua Polis Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata perhimpunan itu tidak boleh diadakan jika tujuannya adalah untuk menjatuhkan Najib, yang didakwa oleh pengkritik dikaitkan dalam saman DOJ itu.


Sebelum ini, perhimpunan BERSIH 4 menarik puluhan ribu orang yang berkumpul di pusat bandar pada 29 dan 30 Ogos tahun lepas.

Dalam perhimpunan selama 34 jam itu, pesertanya antara lain menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Perhimpunan pertama BERSIH diadakan pada 2007 dan diikuti oleh tiga lagi - pada 2011, 2012 dan 2015.

- MK

No comments: