Thursday 28 July 2016

MCA pertimbang terima kaum lain sebagai ‘ahli bersekutu’

 chong-sin-woon1
PETALING JAYA: MCA sedang mempertimbangkan cadangan untuk membuka keahliannya kepada kaum lain kerana ia akan menjadi lemah jika terus kekal sebagai parti kaum Cina.

Ketua Pemudanya, Chong Sin Woon yang dipetik The Sun berkata, presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai secara dasarnya bersetuju dengan langkah menjadikan kaum lain sebagai “ahli bersekutu” dan perbincangan mengenai cadangan itu masih diteruskan dari semasa ke semasa.

Jelasnya, cadangan itu akan dibangkitkan pada perhimpunan agung MCA akan datang dan sebaik sahaja diluluskan, perlembagaan akan dipinda untuk memudahkan pengambilan kaum lain sebagai “ahli bersekutu”.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, MCA belum mempertimbangkan pertukaran nama parti apabila keahliannya terbuka kepada kaum lain.

Beliau berkata, walaupun bakal mendapat tentangan sesetengah ahli, khasnya veteran, cadangan itu adalah permulaan baik buat MCA kerana parti itu tidak boleh lagi melihat isu dibangkitkan rakyat dari sudut kaum Cina sahaja.

“Kekal sebagai parti satu kaum akan menjadikan MCA lemah kerana hakikatnya Malaysia adalah negara majmuk yang mengamalkan pelbagai budaya, tetapi kami hanya cuba mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina,” katanya.

Beliau percaya cadangan itu bakal memanfaatkan parti dalam jangka panjang, khasnya apabila ada di kalangan “ahli bersekutu” mereka yang tahu berbahasa Cina.

Menurut laporan setiausaha agung MCA, parti itu mempunyai kira-kira 1.07 juta ahli dengan 238,689 daripada mereka adalah ahli Pemuda setakat 3 September 2015.

- FMT

No comments: