Wednesday 27 July 2016

Pegawai tinggi SPRM elak soalan pengganti Abu Kassim

 
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali mengelak soalan wartawan berhubung siapa yang akan menggantikan tempat Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Abu Kassim.

Mustafar juga enggan mengulas apabila diajukan soalan sama ada bersetuju atau tidak jika penggantian itu membabitkan anggota SPRM sendiri.

“Itu saya tidak tahu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penggantian Abu Kassim di Institut Integriti Malaysia hari ini.

“Cukup cukup cukup. Mana pemandu saya,” katanya ketika menjawab soalan sama ada beliau bersetuju atau tidak jika jawatan ketua pesuruhjaya diberikan kepada orang dalam suruhanjaya itu.

Persoalan siapa pengganti Abu Kassim timbul selepas beliau mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatannya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos.

Beberapa nama disebut sebagai pengganti dan antaranya ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid.

Bagaimanapun, Noor Rashid ketika dihubungi FMT berkata beliau tidak menerima sebarang tawaran malah tidak tahu menahu mengenai desas-desus namanya disebut sebagai pengganti Abu Kassim.

Abu Kassim memulakan tugas sebagai pegawai penyiasat BPR pada 1984 sebelum dilantik menjadi ketua pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010.

- Fmt

No comments: