Saturday, 1 October 2016

Polis: Tiada tumbukan, hanya tolakan penyokong Baju Merah, Bersih

jamal merah
PETALING JAYA: Tiada tumbukan dilaporkan berlaku dalam pergelutan antara penyokong Gerakan Baju Merah dan aktivis Bersih di Teluk Intan, Perak, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Supt Yahaya Hassan yang dipetik The Star Online menyifatkan ia sebagai insiden kecil antara penyokong kedua-dua pihak dan tiada tumbukan dilepaskan.
Yahaya berkata, polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang memulakan provokasi itu dan mengesahkan tindakan akan diambil terhadap mereka.
Satu rakaman video dimuat naik ke laman Facebook Bersih 2.0 menunjukkan pergelutan antara penyokong Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Md Yunos dan aktivis Bersih 5 di Teluk Intan, hari ini.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mendakwa kekecohan itu berpunca daripada Jamal yang menyerang aktivis Bersih terlebih dahulu.
Namun, dakwaan itu ditepis Jamal dengan mendakwa akvitis Bersih yang menolak mereka dahulu.
Bersih 2.0 mengadakan konvoi jelajah ke bandar di luar Kuala Lumpur bagi memaklumkan himpunan Bersih 5 akan diadakan pada 19 November nanti untuk menuntut pembaharuan institusi.
- FMT
Post a Comment