Friday 14 October 2016

Kerajaan cadang bilik sewa RM50-RM80 di KL untuk belia bujang

Coming soon- Rooms for RM50 to RM80 in KL
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang mewujudkan kediaman dengan kadar sewa rendah khusus untuk golongan belia bujang berpendapatan rendah di ibu kota.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata usaha itu bertujuan membantu golongan itu menyewa bilik pada kadar rendah iaitu dari harga RM50 hingga RM80 sebulan.

“Ini untuk membantu mereka yang bekerja di hotel, restoran dan dalam semua sektor perkhidmatan industri di Kuala Lumpur di mana mereka akan mampu menyewa bilik walaupun gaji mereka rendah.

“Kami merancang untuk membina rumah berkeluasan 650 kaki persegi setiap unit dan setiap unit akan mempunyai 5 bilik, tandas dan ruang makan.

“Rumah ini juga akan dilengkapi kawasan meletak motosikal dan akan dibina berdekatan stesen LRT (Transit Aliran Ringan),” katanya dalam sidang media selepas merasmikan upacara pecah tanah projek Persimpangan Pantai Sentral Park, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Mohd Ikshan, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz dan Pengerusi IJM Corporation Berhad Tan Sri Abdul Halim Ali.

Persimpangan Pantai Sentral Park di Pantai Dalam yang merupakan laluan alternatif dengan kos pembinaan sebanyak RM52juta dijangka dapat mengurangkan kesesakan jalan raya di sekitar kawasan ibu negara sehingga 30%.

Tengku Adnan berkata persimpangan sejauh 2.8 kilometer itu dijangka siap pada Februari 2018 dan akan menghubungkan laluan ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Damansara-Puchong dan Kerinchi Link (Lebuhraya SPRINT).

“Persimpangan ini merangkumi 2 susur keluar melibatkan laluan ke Bangsar dan Kuala Lumpur; Sunway, Subang dan Kuala Lumpur manakala 3 susur masuk melibatkan laluan dari Bangsar dan Kuala Lumpur; Sunway dan Subang serta Petaling Jaya,” katanya.

Projek persimpangan baharu itu dibangunkan syarikat pemaju, Amona Development Sdn Bhd dan IJM Land Berhad yang turut membangunkan projek perumahan di situ.

Dalam pada itu, Tengku Adnan turut meminta kedua pemaju tersebut menyediakan rumah mampu milik sebanyak 896 unit dengan harga RM245,000 ke bawah seunit bagi memberi peluang orang ramai memiliki kediaman di kawasan Pantai Sentral Park.

“Jumlah unit sedia ada yang berkeluasan 850 kaki persegi seunit dilihat kurang mencukupi untuk menampung permintaan yang tinggi dan kalau boleh kita mahu pemaju jual pada harga seminimum mungkin dan meningkatkan jumlah unit demi membantu rakyat yang memerlukan kediaman,” katanya.

- Bernama

No comments: