Thursday 13 October 2016

Gambar Lelaki Berjanggut, Bertongkat ‘Superimposed’ - Jamal






Gambar lelaki berjanggut dan bertongkat yang terlibat dengan kumpulan Baju Merah bersama Perdana Menteri, Noh dan Jamal telah diedit pihak tertentu sebelum menyebarkannya.
 
PETALING JAYA: Gambar seorang lelaki berjanggut, bertongkat serta memakai baju putih dengan logo Barisan Nasional (BN) yang tersebar di media sosial adalah versi edit atau ‘superimposed’, dakwa Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Menafikan dakwaan itu, Jamal yang merupakan ketua gerakan Baju Merah berkata, tiada lelaki berkenaan di dalam gambar melainkan beliau; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Tambahnya, gambar yang tersebar itu dirakam ketika perbincangan mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar yang diadakan di dalam ‘war room’ pada Jun lalu.

“Itu gambar edit. Kita tidak tahu siapa yang edit gambar itu dan diletakkan lelaki berkenaan di belakang Perdana Menteri, Tan Sri Noh dan saya sendiri.

“Sekarang ini superimposed, macam-macam ada... canggih. Yang tak ada, diada-adakan, yang ada, tidak diadakan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Dilaporkan, pihak polis kini sedang mengesan lelaki berjanggut dan bertongkat seperti di dalam video dan gambar yang tersebar di media sosial di mana seorang penyokong Bersih diserang.

Pada masa sama, turut tersebar gambar yang memperlihatkan seseorang yang mirip wajah lelaki berjanggut dan bertongkat itu sambil memakai baju putih berlogo BN berada bersama-sama Najib, Noh dan Jamal dalam satu majlis.

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata, lelaki berkenaan merupakan salah seorang penyokong gerakan Baju Merah.

“Lupa nama dia siapa, tetapi dia adalah penyokong gerakan Baju Merah. Tidak ada masalah sama ada dia orang Umno ke apa,” katanya.

Ditanya mengenai laporan polis berhubung dakwaan, Jamal berkata, ia merupakan perkara yang remeh-temeh untuk dilakukan.

“Tak kan satu gambar yang diedit, lepas tu buat laporan polis, nak siasat.

“Kita boleh buat laporan, tetapi kalau kita hendak melayan kesemua gambar dan perkara-perkara sebegini, saya rasa ia merupakan perkara yang tidak sesuai dengan zaman kita. Ini kerana zaman sekarang, apapun boleh dibuat,” katanya.

Isnin lalu, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, Umno negeri itu tidak terlibat dengan kumpulan 'Baju Merah' yang telah menimbulkan kontroversi baru-baru ini.

- mStar
 

No comments: