Thursday 13 October 2016

Peguam Anwar beritahu mahkamah sabitan liwat bukti konspirasi

gopal-anwar-1
PUTRAJAYA: Dua peristiwa yang berlaku sejurus sabitan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun lalu, menunjukkan wujud konspirasi politik untuk menghantar bekas ketua pembangkang itu ke penjara, kata peguamnya di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Gopal Sri Ram berkata, Pejabat Perdana Menteri (PMO) bertindak mengeluarkan kenyataan menegaskan badan kehakiman adalah bebas, kira-kira 15 minit selepas Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan Anwar.

“Kelajuan PMO mengeluarkan kenyataan itu menunjukkan mereka sudah tahu keputusan mahkamah,” katanya dalam hujah permohonan semakan sabitan Anwar itu.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad seterusnya mengesahkan afidvit yang kerajaan menentang permohonan semakan dikemukakan Anwar.

“Kenapa bantah permohonan anak guam saya jika kerajaan dan Umno tidak terbabit dalam konspirasi itu,” soalnya di hadapan panel 5 hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Tengku Shariffuddin dalam afidavitnya menjelaskan, PMO menyediakan 2 set kenyataan akhbar berhubung kes Anwar yang disabit kesalahan atau dibebaskan, memandangkan ia adalah kes membabitkan kepentingan awam.

“Satu lagi kenyataan tidak dikeluarkan, oleh itu afidavit berkenaan berat sebelah,” katanya.

Peguam itu berkata, ia juga bukan amalan kerajaan mengeluarkan kenyataan bagi mengulas keputusan mahkamah.

Gopal berkata, tindakan Timbalan Pendakwa Raya sementara, Muhammad Shafee Abdullah selepas penghakiman Mahkamah Persekutuan turut mengukuhkan lagi teori konspirasi itu.

“Beliau menyerang Anwar dan membuat rujukan prosiding didengar secara tertutup menerusi kamera, di roadshow anjuran Pemuda Umno,” katanya sambil menambah keputusan itu menunjukkan parti terbabit gembira dengan keputusan akhir kes berkenaan.

Beliau berkata, Shafee dan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga dilihat berada di kediaman Datuk Seri Najib Razak, timbalan perdana menteri ketika itu, sebelum kejadian liwat itu berlaku pada Jun 2008.

“Hubungan rapat Shafee dengan Umno dan pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya diatur terlebih dahulu untuk membawa bukti palsu bagi menyabitkan Anwar,” katanya.

Beliau berkata, Shafee sekadar boneka dan tuannya berada di tempat lain dan ia hanya dapat dilihat selepas rayuan dikemukakan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Kamal Md Shahid dalam jawapannya berkata, Tengku Sarfuddin mengesahkan afidavit kerana Anwar mengheret PMO dalam permohonan semakannya.

Katanya, kenyataan media itu sama sekali tidak menunjukkan badan kehakiman ditekan dan ia tidak perlu menunjukkan satu lagi kenyataan media lain jika Anwar dibebaskan.

Beliau berkata, tindakan Shafee pada jelajah anjuran Pemuda Umno itu tidak relevan, kerana rayuan sudah selesai dan keputusan sudah dibuat.

Ahmad Kamal mengingatkan panel itu yang prosedur mengkaji penghakiman hanya boleh dibuat atas alasan terhad dan di bawah keadaan luar biasa.

“Semakan tidak harus digunakan sebagai helah untuk membuka semula sesuatu kes itu.”

Peguam kerajaan itu berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan menggunakan akta salah dalam penghakimannya, ia tidak boleh disemak semula.

Ahmad Kamal berkata, beberapa isu dibangkitkan pihak pembelaan, seperti bukti DNA atau permaidani tidak pernah wujud dalam unit kondominium di tempat kejadian, sepatutnya dibangkitkan pada rayuan.

Zulkefli menangguhkan penghakiman kemudian, nammun tarikhnya belum ditetapkan.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas didapati bersalah meliwat Saiful.

Anwar, 69, pada mulanya dibebaskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun, pada 7 Mac 2014.

Panel 5 hakim di Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria, ketika mengekalkan sabitan itu berkata, Saiful adalah seorang saksi yang boleh dipercayai.

Mahkamah turut menyimpulkan tiada rantaian bukti terputus, seperti didakwa peguam Anwar.

No comments: