Monday 31 October 2016

Najib selalu isytihar cukainya, kata Azalina

azalina-najib
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak pernah gagal mengisytiharkan cukainya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen hari ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar), Azalina berkata pengisytiharan itu dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut undang-undang.

“Najib isytihar cukainya setiap tahun kepada LHDN, berdasarkan kepada kiraan dan kadar ditetapkan lembaga itu,” katanya.

Terdahulu, Ko bertanya Najib sebagai menteri kewangan dan perdana menteri, adakah beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan mengisytiharkan cukai pendapatan mereka secara umum, sama seperti amalan Presiden Barack Obama dan bekas perdana menteri Britain David Cameron.

Beliau juga bertanya adakah pasangan itu akan mengumumkan badan amal yang menerima sumbangan peribadi daripada mereka.

Azalina tidak menjawab soalan itu, dan berkata dengan ringkas:”Itu hak mana-mana pemimpin untuk menyumbang kepada mana-mana badan amal.”

Pengkritik sebelum ini berulang kali mempersoalkan sama ada perdana menteri membayar cukai untuk sumbangan RM2.6 bilion yang diterimanya daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Bagaimanapun, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Samad berkata Najib tidak perlu membayar cukai daripada RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya, kerana cukai sepatutnya ditanggung penderma, bukan penerima.

- Dewan Rakyat

No comments: