Wednesday 26 October 2016

Ideas syor perketat pantau GLC ekoran isu 1MDB

Dalam kajian terbarunya, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mengesyorkan supaya diperketatkan pemantauan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mengelak kelemahan dalam tadbir urus korporat, seperti yang melanda 1MDB.

Idea berkata 1MDB - yang mengumpulkan hutang sehingga RM42 bilion pada 2014, berjumlah 2.5 peratus daripada KDNK Malaysia - adalah contoh bagaimana sesebuah GLC yang tidak dikawal, boleh menyebabkan masalah kepada negara.

Walaupun pihak berkuasa ada mengambil langkah untuk menangani isu-isu berkaitan 1MDB selepas bantahan awam, kajian itu mendapati pengawasannya masih lemah dan longgar.

Ia menegaskan bahawa 1MDB mengalami masalah akibat pinjaman berlebihan pada kadar faedah yang tinggi, yang membawa kepada risiko mungkir pinjaman dan kesan sebaliknya terhadap penarafan kredit.

Badan-badan pengawasan dan kawal selia seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu memainkan peranan yang lebih kukuh dalam mengawasi GLC untuk mengelak timbul masalah yang sama pada masa akan datang, kata Ideas.

Kajian itu juga mengesyorkan supaya kelulusan Parlimen mesti diperolehi sebelum pengeluaran surat jaminan untuk menyokong pinjaman GLC.

Ia turut mengesyorkan supaya undang-undang diwujudkan untuk melarang GLC daripada membiayai parti politik atau ahli politik individu, berikutan dakwaan bahawa dana 1MDB telah disalahgunakan untuk membiayai pilihan raya.

Kajian itu juga mencadangkan diwujudkan pendaftaran semua GLC yang sedang beroperasi - kerana pada waktu ini jumlahnya tidak diketahui - untuk mengesan dan mengukur prestasi mereka; menetapkan dengan jelas nisbah hutang-pada-ekuiti bagi GLC, menetapkan jumlah had pinjaman; dan menyekat pegawai awam dan pengawal selia menganggotai lembaga pengarah GLC bagi mengelak berlaku konflik kepentingan.

Ideas turut mengesyorkan supaya diwujudkan peraturan bagi membendung pengambilan keuntungan daripada aset milik negara, seperti apabila 1MDB menjual tanah kepada Tabung Haji pada harga 42 kali daripada harga awalnya, dan memberi mandat kepada ketua audit negara untuk menjalankan audit terperinci ke atas GLC.

- MK

No comments: