Monday, 31 October 2016

Tren kargo tergelincir, kejadian terburuk dalam tempoh 130 tahun

Datuk Ir Nawawi Ahmad
BATU GAJAH: Kejadian tren kargo tergelincir di KM200.283 di Kampung Bakap berhampiran Stesen Batu Gajah di sini, semalam merupakan kejadian terburuk berlaku dalam sejarah perkhidmatan kereta api negara dalam tempoh 130 tahun.

Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata walaupun sebelum ini berlaku beberapa insiden kereta api tergelincir, namun ia tidak seteruk kejadian itu.

“Selama ini, kalau tergelincir pun hanya jatuh dan terbalik sahaja, namun kerosakan kali ini umpama serangan garuda sehingga semuanya rosak dengan dahsyat.

“Oleh kerana gerabak itu kosong dan tiada muatan, ia menyebabkan gerabak mudah berlanggar satu sama lain.

“Mungkin kalau ada muatan, ia lebih kukuh kerana setiap satu gerabak tanpa muatan adalah 12 tan manakala jika ada muatan ia seberat 45 tan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nawawi berkata ekoran kejadian itu dianggarkan kos kerugian yang terlibat mencecah puluhan juta ringgit.

“Satu lokomotif berharga RM12 juta manakala satu gerabak berharga RM400,000,” katanya.

Pada kejadian 3.15 pagi Jumaat lalu, 2 lokomotif dan 40 gerabak dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek, Perak, untuk mengambil muatan simen, tergelincir di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di sini.

Dalam insiden itu, 2 lokomotif dan 25 gerabak mengalami kegelinciran.

- Bernama
Post a Comment