Monday 17 October 2016

Sekali lagi, Najib kritik Dr Mahathir abai pengangkutan awam

najib mahathir proton
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad hanya memfokuskan pembangunan Proton Holdings Berhad sehingga mengabaikan sistem pengangkutan awam negara.

“Pemimpin terdahulu yang berkuasa selama 22 tahun tidak pernah menumpukan perhatian terhadap pengangkutan awam. Fokusnya ke atas kereta, khususnya kereta Proton.

“Tak salah pun, tetapi setiap negara di seluruh dunia memerlukan sistem pengangkutan awam yang cekap dan boleh dipercayai,” kata Najib pada Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016, hari ini.

Ini bukan kali pertama Najib mengkritik bekas perdana menteri itu dengan mendakwanya mengabaikan kepentingan pengangkutan awam.

Jun lalu, Najib menyindir Dr Mahathir gagal menyediakan pengangkutan awam mapan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri sehingga menyebabkan wujud kelompongan, kurang pelaburan, sistem tidak bersepadu dan dimiliki terlalu ramai pihak.

Najib berkata, pengabaian itu menyebabkan sistem pengangkutan awam tidak mampu memenuhi permintaan bandar membangun dan kesesakan lalu lintas.

Sementara itu, Najib berkata, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan selepas Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala dan dirinya menjalankan kajian berhubung kebimbangan dan keperluan rakyat mengenai pengangkutan awam.

“Kami tanya orang ramai kebimbangan utama mereka mengenai pengangkutan awam, selepas itu SPAD ditubuhkan. Kami perlu sebuah badan kawal selia,” katanya.

- FMT

No comments: