Monday 31 October 2016

Belanjawan Selangor 2017 bukan bajet ‘ikat perut’, kata Azmin

azmin-belanjawan
SHAH ALAM: Pembentangan Belanjawan Selangor 2017 kali ini bukan bajet “ikat perut”, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, kerajaan negeri mengutamakan pembangunan tanpa menghiraukan jumlah yang dibelanjakan untuk 2017 nanti.

“Kita tidak ‘mengikat perut’ rakyat. Kita berbelanja tetapi dalam berbelanja, kita mengutamakan pembangunan. Jika kita tidak mengutamakan pembangunan, tanah air dan bangsa tidak akan punya masa hadapan,” katanya semasa membentangkan bajet di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Azmin berkata demikian sebagai reaksi terhadap perbentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, kerajaan negeri mengganggarkan perbelanjaan berjumlah RM3.45 bilion bagi 2017 untuk melaksanakan perancangan dan agenda kerajaan negeri.

Jelasnya, peruntukan itu khusus kepada perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan.

“Kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan 2017 berjumlah RM3.45 bilion bagi melaksanakan semua perancangan dan agenda.

“Daripada jumlah itu, RM1.65 bilion adalah bagi peruntukan perbelanjaan mengurus dan RM1.8 bilion bagi perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa berkata, bajet kali ini dijangka mengalami defisit berjumlah RM900 juta berpunca daripada peningkatan substantif dalam perbelanjaan pembangunan bagi memenuhi keperluan pembangunan mampan yang berkualiti untuk rakyat.

“Di bawah peruntukan mengurus, RM427.9 juta adalah bagi emolumen dan RM543.16 juta disediakan bagi perkhidmatan dan bekalan. Manakala, RM18.34 juta diperuntukkan kepada pembelian aset.
“Sejumlah RM608.11 juta disediakan untuk pemberian dan kenaikan bayaran tetap serta RM52.49 juta untuk perbelanjaan lain,” katanya.

Sementara itu, sebanyak RM20.3 juta diperuntukkan untuk kenaikan gaji tahunan kakitangan awam berikutan langkah rasionalisasi skim perkhidmatan awam.

Manakala skim air percuma diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM183.2 juta untuk program berkenaan.

Selain itu, RM209 juta diperuntukkan bagi tujuan pembangunan sektor kesihatan dan pembangunan luar bandar menerusi pembentangan belanjawan negeri itu.

Katanya, peruntukan tersebut meliputi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan yang memberi tumpuan terhadap pembangunan kesihatan luar bandar.

“Jumlah ini meliputi 11.6% diperuntukkan bagi pelaksanaan program skim penjagaan kesihatan asas (primary health care) dan program menangani wabak denggi dan zika.

“Selain itu, peruntukan ini meliputi pembangunan ekonomi luar bandar serta membangun prasarana asas bagi tujuan kemudahan di desa serta menaiktaraf jalan kampung,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan meneruskan program pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan bagi kumpulan sasar yang sama.

Katanya, ini berikutan rakyat masih dihisap darah mereka melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Bajet 2017 Putrajaya yang “mengikat perut” rakyat.

“Kerajaan negeri meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan awal bagi memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017,” katanya.

- FMT

No comments: