Monday 24 October 2016

Menteri beri 5 contoh BERSIH berniat guling BN

ULASAN l Saya diminta oleh Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming, untuk membuktikan BERSIH berniat menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Cukuplah kita berpura-pura menganggap BERSIH tidak menyebelahi mana-mana parti dan tidak mempunyai motif politik. Ibarat sudah terang lagi bersuluh, akui saja BERSIH adalah alat bagi parti pembangkang dan bukannya badan yang kononnya memperjuangkan penambahbaikan pilihan raya.
Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai tindakan mereka membuktikan hakikat itu.
Saya berikan lima contoh seperti berikut:
1. Pemimpin yang menyertai ceramah penutup BERSIH 4 secara terbuka meminta peserta perhimpunan menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, BN dan berjanji untuk menolak kerajaan memerintah menerusi peti undi.
2. Pemimpin BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan dan Maria Chin, berucap di beberapa majlis membabitkan calon pilihan raya parti pembangkang termasuk kempen pilihan raya kecil Teluk Intan.
3. BERSIH tidak memperjuangkan pilihan raya yang bebas dan adil, sebaliknya secara aktif menyertai siri perhimpunan anti-GST anjuran pembangkang dengan alasan "pekerja juga adalah pengundi". Sistem percukaian moden yang diterima di seluruh dunia tiada kena mengena dengan penambahbaikan pilihan raya.
4. Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang menghadapi beberapa tuduhan rasuah di mahkamah tidak didesak meletak jawatan, sebaliknya diundang untuk melancarkan siri jelajah BERSIH di Pulau Pinang - terang-terangan bercanggah dengan amalan tadbir urus baik, garis panduan kakitangan awam dan amalan demokratik.
5. Bertentangan dengan prinsip demokratik, BERSIH 4 dan BERSIH 5 mendesak perdana menteri meletak jawatan walaupun perdana menteri sudah disiasat serta disahkan bebas daripada sebarang salah laku oleh pihak berkuasa yang berkaitan.
6. Ambiga selaku Pengerusi BERSIH pada waktu itu, secara terbuka mengulangi segala dakwaan pembangkang berhubung pengundi hantu yang kononnya mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan mensabotaj bekalan elektrik, namun disanggah oleh laporan PEMANTAU milik BERSIH yang mengesahkan tiada bukti ditemui berkaitan pengundi hantu atau gangguan bekalan elektrik.

Datuk Abdul Rahman Dahlan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi
- MK

No comments: