Monday 24 October 2016

Perangai Noh Omar seperti kanak-kanak, kata Elizabeth Wong

eli-noh-omar
PETALING JAYA: Ahli Exco Selangor Elizabeth Wong membidas Menteri Perumahan Tan Sri Noh Omar dan mengatakan kelakuan beliau tidak ubah seperti kanak-kanak pra-sekolah.

“Inilah kaliber menyedihkan menteri-menteri Umno.

“Daripada menggerakkan agensi untuk membersihkan di sebelah Negeri Sembilan, beliau berkelakuan seperti seorang kanak-kanak tadika,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian susulan Noh Omar, yang sebelum ini mencabar Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar membuat laporan polis jika benar tindakan sabotaj terhadap loji rawatan air Sungai Semenyih berlaku.

Beliau juga menyelar kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang kerana menuduh Umno menjadi dalang perbuatan sabotaj itu dengan berkata Azmin kehabisan alasan.

Wong, yang bertanggungjawab bagi pelancongan, hal ehwal pengguna dan alam sekitar, berkata laporan polis sudah dibuat berhubung perkara itu malam tadi.

“Agensi kami membuat laporan polis malam tadi walaupun diberi layanan tidak sepatutnya oleh pihak polis,” katanya.

Wong berkata, maklumat lanjut mengenai “bukti kukuh” itu akan dikeluarkan serentak keputusan makmal pencemaran air itu siap.

“Keputusan tidak akan keluar dengan segera kerana spektrum penuh diperlukan kerana sebatian yang tidak diketahui dikesan di dalam air.

“Mari kita lihat jika Jabatan Alam Sekitar dan pihak polis akan bertindak ke atas perbuatan sabotaj yang begitu jelas.”

Semalam, Azmin menyalahkan parti pemerintah di atas pencemaran itu dengan mendakwa ia dilakukan untuk melemahkan keupayaan kerajaan negeri dalam menangani isu itu.

Timbalan presiden PKR itu juga mendakwa kerajaan negeri mempunyai “bukti kukuh” yang menyokong dakwaan itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai bukti yang mengaitkan Barisan Nasional dan Umno terhadap pencemaran itu.

- FMT

No comments: