Wednesday 26 October 2016

Kebakaran Di ICU HSA Tragedi Tidak Dapat Dilupakan - Saksi

 
JOHOR BAHRU: Suasana kelam-kabut dan asap tebal yang menyelubungi Wad Neurologi akibat kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi Selasa menjadi satu pengalaman mencemaskan yang tidak mungkin dapat dilupakan beberapa pesakit di hospital berkenaan.

Keadaan yang pada awalnya agak huru-hara bagaimanapun terkawal dengan tindakan cekap jururawat dan petugas hospital menenangkan serta memberi arahan jelas kepada para pesakit di wad untuk keluar menyelamatkan diri.

Melahirkan rasa syukur kerana selamat daripada bencana lebih buruk, beberapa pesakit di wad itu berkongsi detik kejadian yang mencemaskan.

N. Jatish, 28, tidak menyangka kejadian itu berlaku pada hari terakhirnya menjalani rawatan sakit batu karang setelah lima hari mendapat rawatan di Wad Neurologi, yang terletak di tingkat tiga HSA.

Ketika kejadian, Jatish yang ditemani anggota keluarga sedang menunggu surat kebenaran keluar hospital daripada doktor dan berasa hairan melihat asap memenuhi ruang wad dan menjadi semakin tebal.

"Masa itu, keadaan agak huru-hara dan panik. Kemudian kedengaran arahan meminta kami (para pesakit) turun melalui tangga dan memakai penutup hidung dan mulut sebelum dibawa keluar ke kawasan selamat," katanya ketika ditemui Bernama di sebuah bilik sementara di Blok A (Anggerik) HSA.

Jatish berkata beliau sempat membantu seorang warga emas yang berada di katil sebelahnya sebelum mereka bersama-sama turun melalui tangga dan keluar dari bangunan itu.

Sementara itu, Muhadzir Lewon, berkata ketika kejadian beliau sedang menunggu giliran untuk rawatan dialisis di Wad Neurologi.

"Saya berada di sebuah bilik khas sebagai persediaan untuk menjalani rawatan harian dialisis kerana sakit buah pinggang," katanya.

Bagaimanapun, beliau berasa hairan kerana tiada jururawat atau petugas yang berada di bilik itu untuk memeriksanya, lalu keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Sejurus keluar dari bilik itu, dia mendapati keadaan wad gelap dan dipenuhi asap.

"Tiba-tiba, saya diarahkan memakai penutup hidung dan mulut lantas diminta bergerak keluar melalui tangga oleh jururawat bertugas sebelum dibawa ke kawasan selamat," kata penjawat awam berusia 39 tahun itu.

Pada kebakaran yang bermula 8.56 pagi itu, enam pesakit, terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut.

Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.

Dua kakitangan HSA dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang kakitangan dirawat di HSA akibat terhidu asap.

- mStar

No comments: