Thursday 13 October 2016

Jamal Tak Lari, Ke Luar Negara Kerana Bisnes

PETALING JAYA: Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos berada di luar negara di atas urusan perniagaan, bukan sengaja 'melarikan' diri selepas dipanggil polis berhubung kontroversi melibatkan pertubuhan yang diterajuinya.

Jamal berkata, tarikh beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis secara kebetulan adalah tempoh sama di mana beliau perlu berada di luar negara.

“Saya masih lagi berada di luar negara. Ada urusan perniagaan yang sudah tertangguh sekian lama.
“Kebetulan tarikh itu (dipanggil untuk beri keterangan), saya perlu memeterai perjanjian di sini (luar negara),” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis.

Timbul dakwaan mengenai beliau melarikan diri ke luar negara bagi mengelak daripada dikenakan tindakan pihak polis berhubung insiden kumpulan Baju Merah membabitkan peserta Bersih sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Bagaimanapun, Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar tidak mendedahkan lokasi sebenar beliau berada ketika ini.

Menurut Jamal, beliau dijangka pulang ke tanah air pada Jumaat.

“Esok sampai. Saya sampai... saya akan terus memberi kerjasama dengan pihak polis.

“Ini kerana pegawai polis sentiasa berhubung dengan saya dalam telefon. Saya telah memaklumkan apa yang sepatutnya dan mereka menunggu saya pulang ke tanah air untuk beri kerjasama,” katanya.

Pada Sabtu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan Baju Merah menerusi satu rakaman video yang menjadi viral, dilihat melontar telur kepada dua lelaki yang memakai kemeja-T Bersih dengan salah seorang daripadanya ditendang dari belakang.

Selasa lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis sedang menunggu Jamal untuk pulang ke tanah air bagi mendapatkan keterangannya berhubung insiden itu.
“Kita akan menyoalnya sebaik sahaja beliau kembali ke tanah air," katanya sambil menambah polis perlu menyoal Jamal sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Dilaporkan, jumlah tangkapan berhubung insiden itu kepada lima orang setakat ini, dan mereka dibebaskan denga jaminan polis.

- mStar

No comments: