Monday 24 October 2016

Firma guaman mesra BERSIH pula akan disenarai hitam

Selepas bersetuju terhadap saranan supaya syarikat yang membantu BERSIH disenarai hitam hari ini Datuk Abdul Rahman Dahlan membayangkan tindakan sama akan diambil ke atas firma guaman yang 'mesra' dengan pertubuhan berkenaan.
Kata menteri di jabatan perdana menteri itu beliau akan membincangkan tindakan yang sesuai ke atas firma terbabit jika didapati mereka mendapat kontrak melalui syarikat milik kerajaan (GLC).
"Saya akan bincangkan perkara ini untuk perhatian pihak tertentu, supaya syarikat-syarikat terutamanya GLC tidak lagi menggunakan firma guaman yang bukan saja membantu (BERSIH) tetapi menyediakan kepimpinan (kepada pertubuhan berkenaan)," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Semalam Abdul Rahman berkata masa untuk kerajaan berlembut dengan gerakan pendesak reformasi pilihan raya itu sudah berakhir.
Malaysiakini melaporkan Abdul Rahman akan meminta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) untuk tidak lagi menganugerahkan kontrak kerajaan kepada mana-mana syarikat yang mempunyai kaitan dengan BERSIH.
"Awang Selamat (penulis pojok Mingguan Malaysiamenulis mengenai ada syarikat-syarikat yang menaja perhimpunan haram BERSIH dengan tujuan menggulingkan kerajaan tetapi pada masa yang sama syarikat-syarikat ini mendapat kontrak dari kerajaan.
"Saya bersetuju dengan pandangan beliau bahawa syarikat berkenaan perlu disenarai hitamkan dan akan minta EPU dan Ukas untuk melihat semua latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka," jelas beliau.
Akhbar Utusan Malaysia pula hari ini memetik pandangan peguam Azril Mohd Amin yang berpendapat langkah menyenarai hitam serta-merta syarikat yang dikesan menaja, membiayai dan membantu siri demonstrasi BERSIH harus diperluaskan meliputi firma-firma guaman tertentu.
Menurut Azril, banyak firma guaman yang mendapat kontrak melalui GLC diketahui secara langsung menyokong BERSIH dan menentang BN.
Kata Azril lagi, pemilik atau rakan kongsi firma guaman itu pula merupakan ahli Majlis Peguam yang sejak sekian lama tidak pernah berubah pendiriannya dalam menentang kerajaan selain menyokong demonstrasi BERSIH.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata mereka tidak sepatutnya berada dalam panel guaman syarikat-syarikat GLC.
Sementara itu mengulas mengenai butiran syarikat yang disenaraihitamkan kerana menaja BERSIH, Abdul Rahman berkata ia tidak akan didedahkan buat masa ini.
"Ada dalam otak saya, saya tak mahu dedahkan. Saya tahu siapa mereka dan mereka tahu siapa mereka," kata Abdul Rahman.
Abdul Rahman sebelum ini dicabar untuk mengemukakan bukti kerajaan Pulau Pinang dan Selangor mengamalkan diskriminasi yang sama.
- MK

No comments: