Monday 24 October 2016

'Kami dikritik keluar dewan, tapi Pekan tak hadir pun hari ini'

Ketua pembangkang menyelar tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak hadir mendengar ucapannya ketika membahaskan Belanjawan 2017 di parlimen hari ini.

“Kami diselar kerana ‘keluar dewan’ tetapi hari ini apa yang amat ketara dan menjolok mata ialah YAB Pekan (Najib) tidak hadir pun ke dewan,” kata Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Jumaat lalu, pembangkang keluar dewan ketika Najib yang juga menteri kewangan membentangkan Belanjawan 2017.

Ia berlaku selepas kekecohan dalam Dewan Rakyat apabila pembangkang mengangkat plakad “Siapa MO1”.

Pembangkang bertindak demikian selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata pihak yang tidak mahu mendengar pembentangan itu boleh keluar dewan.

Azizah hari ini berkata, sepanjang Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan menteri kewangan sebelum ini, tidak pernah sekalipun beliau tidak hadir ketika ketua pembangkang membahaskan belanjawan.

“Ini jelas menunjukkan ketokohan dan jiwa besar beliau yang bersifat terbuka untuk menerima kritikan dan teguran daripada pihak pembangkang.

“Sahsiah sebegini penting dalam amalan demokrasi kerana negara memerlukan kerajaan dan pembangkang supaya wujud semak dan imbang yang berkesan.

“Ini barulah kematangan dalam sistem demokrasi,” kata isteri Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Sungai Buloh.

- MK

No comments: