Wednesday 26 October 2016

Pusat khidmat MP PKR kena simbah cat merah

Pusat khidmat Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh disimbah dengan cat merah malam semalam.

Menurut pemimpin PKR itu, beliau percaya tindakan itu berkaitan pembabitannya dengan perhimpunan dan siri jelajah oleh BERSIH.

Menurut Fuziah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki yang memakai topi keledar menyimbah cat pada jam 11:36 malam.

Rakaman itu memaparkan bahagian pintu depan pusat perkhidmatan berkenaan disimbah dengan cat merah.

"Ini mungkin ancaman, sebagai isyarat kepada kami untuk tidak meneruskannya. Bagi saya, ini adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

"Macam Ah Long (pemungut hutang). Ini cara Ah Long mengancam rakyat," kata Fuziah memberitahu Malaysiakini.

"Ini adalah pusat perkhidmatan, apa mesej yang mahu mereka cuba sampaikan?" soalnya.

Menurut Fuziah, beliau percaya serangan itu berkaitan dengan usaha untuk menggagalkan siri jelajah BERSIH 5, berikutan ‘provokasi’ ke atas konvoi BERSIH di Rompin dua hari lalu.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pejabat parti politik dan pusat khidmat wakil rakyat sering kali menjadi sasaran dan disimbah dengan cat merah.

Ini termasuk pusat khidmat Umno di Bukit Antarabangsa, yang disimbah dengan cat hitam dan merah pada tahun 2012.

Setahun sebelum itu, ibu pejabat DAP Pulau Pinang disimbah dengan cat jingga dan merah.

Pejabat Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok disimbah dengan cat merah manakala ayam mati dicampakkan di tangga pejabatnya pada tahun 2014.

Pada tahun yang sama, cat merah juga disimbah di pejabat portal laman web Malaysiakini dan seekor itik hidup ditinggalkan di hadapan pintu pejabat itu.

- MK

No comments: