Monday 17 October 2016

MCA Kecam Tindakan Penyokong Baju Merah

PETALING JAYA: Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA mengecam tindakan penyokong kumpulan Baju Merah menyerang wartawan The Star dalam kejadian yang berlaku di Kuala Selangor pada Sabtu.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap penyokong yang bertindak agresif dalam insiden tersebut.

Kumpulan lelaki itu dipercayai ahli Baju Merah yang turut mengadakan himpunan bagi membantah kehadiran kumpulan Bersih yang memakai baju kuning.

"Mereka yang terlibat perlu berhenti meminta maaf kerana rakyat Malaysia tidak bodoh.

"Video yang tersebar jelas menunjukkan mereka mengugut wartawan," katanya.

Tiong Lai turut memuji tahap kesabaran yang ditunjukkan oleh wartawan The Star walaupun menerima provokasi daripada kumpulan terbabit.

Selain itu, beliau memuji tindakan pantas polis menahan pelaku dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong turut menyuarakan rasa marahnya atas insiden berkenaan.

"Kita hidup dalam masyarakat yang bertamadun. Tolong jaga kelakuan dan jangan mengambil tindakan undang-undang sendiri.

"Jika tidak bersetuju dengan orang lain, bukan hak anda untuk melakukan serangan, lebih-lebih lagi melibatkan wartawan. Mereka hanya menjalankan tugas," katanya.

No comments: