Wednesday 31 August 2016

Polis panggil MP beri keterangan kerana himpunan #TangkapMO1

Ahli Parlimen DAP Teo Kok Seong dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung perhimpunan #Tangkap MO1.
Menurut Teo, beliau bukan salah seorang penganjur dan tidak terfikir akan dipanggil polis untuk memberi keterangan.
"Saya bukan penganjur. Kehadiran saya adalah untuk menyokong kumpulan pelajar.
"Saya dijemput untuk bercakap di atas sebuah lori di Masjid Negara, mungkin itulah sebabnya saya dipanggil," katanya kepada Malaysiakini.
Ahli Parlimen Rasah itu berkata polis memanggilnya untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Teo dijangka memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi esok.
Selain Teo, penganjur perhimpunan itu dan beberapa aktivis juga dipanggil untuk memberi keterangan.
Antaranya ialah jurucakap #TangkapMO1 Anis Syafiqah Md Yusof dan rakan-rakan pelajar Luqman Nul Hakim, Aqilah Zainuzi, Luqman Hakim dan Suhail Wan Azahar.
Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Amir Abd Hadi dan aktivis Isaiah Jacob juga dijangka memberi keterangan kepada pihak polis.
Seperti Teo, semua tujuh daripada mereka akan memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Perhimpunan #TangkapMO1 yang diadakan Sabtu lepas adalah usaha memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat 'Malaysian Official 1' yang disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.
MO1 adalah individu yang memperolehi AS$731 juta daripada dana 1MDB yang didakwa diseleweng.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kumpulan itu berkumpul di Dataran Merdeka.
Notis yang diserah penganjur kepada polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 juga dikatakan tidak sah sekiranya tidak mendapat kebenaran DBKL.
Perhimpunan itu menyaksikan lebih 1,000 membanjiri jalan-jalan berhampiran Dataran Merdeka dan berakhir dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
- MK

Jualan Proton lemah, DRB-Hicom rugi

drb-proton
KUALA LUMPUR: DRB-Hicom berkata pendapatan daripada perniagaan utamanya iaitu automotif menjunam 21% tahun ini, dan antara sebabnya ialah akibat penurunan jumlah jualan kereta Proton dalam tempoh suku pertama tahun ini.
Dalam satu kenyataan, syarikat automotif dan logistik itu berkata kejatuhan itu berlaku susulan keadaan industri yang lemah sepanjang April hingga Jun apabila jumlah jualan keseluruhan kenderaan di Malaysia jatuh 6.3% jika dibandingkan tempoh sama tahun lalu.
Memetik laporan Nikkei Asian Review, jualan kenderaan penumpang, yang membabitkan hampir 90% nilai keseluruhan industri di Malaysia, jatuh 15% antara Januari hingga Jun, menurut data Persatuan Automotif Malaysia sementara kenderaan komersial, yang merangkumi jualan selebihnya jatuh 13% sepanjang tempoh itu.
Sehubungan itu, DRB-Hicom berkata ia akan terus memfokuskan kepada tindakan menyatukan perniagaannya selepas peningkatan ketara kerugian bersihnya pada suku pertama fiskal tahun ini, berbanding tahun lalu.
Nikkei Asian Review melaporkan kerugian bagi 3 bulan pertama berakhir 30 Jun bagi syarikat itu berjumlah RM169.3 juta, berbanding kerugian RM19.7 juta tahun lalu, kata syarikat itu.
Pendapatan suku tahunan menurut 18% dari tahun ke tahun kepada RM2.5 bilion daripada RM2.95 bilion setahun sebelum ini.
“Melihat kepada keadaan pertumbuhan ekonomi keseluruhan dan pasaran kompetitif, kumpulan itu akan kekal fokus kepada penyatuan perniagaannya untuk memastikan pertumbuhan dan kemapanan perniagaan yang berterusan.
“Dengan pertumbuhan ekonomi keseluruhan yang lebih perlahan, pencapaian kumpulan bagi tahun kewangan berakhir Mac 2017 akan terus kekal mencabar,” kata DRB-Hicom.
DRB-Hicom, yang turut memasang kenderaan seperti motosikal Honda dan kereta Audi, bergelut dengan kerugian membuat Proton sejak pengambilalihan daripada syarikat pelaburan negara, Khazanah Nasional pada 2012.
Awal tahun ini, kerajaan bersetuju memberikan geran pinjaman mudah RM1.5 bilion kepada Proton. Sebagai tambahan, Proton perlu mendapatkan rakan kongsi strategik bagi membantunya dalam penyelidikan dan bersaing di peringat antarabangsa dalam tempoh setahun, sebagai sebahagian perjanjian pinjamannya.
Bagi memotong kebergantungan sepenuhnya terhadap perniagaan automotif, DRB-Hicom menyasarkan untuk meningkatkan sahamnya dalam perniagaan berorientasikan perkhidmatan dan pendapatannya kepada 50% dalam tempoh 5 tahun.
Perniagaan itu, termasuk daripada logistik kepada pelupusan sampah, dan pada masa ini ia memberi kurang 20% daripada jumlah keseluruhan pendapatan.
DRB-Hicom juga mengambil tindakan menggabungkan aset logistiknya termasuk pos, kargo udara dan pengangkutan.
“Integrasi perniagaan logistik akan mengurangkan kebergantungan kepada sektor automotif dan membantu menyelaraskan dan mempertingkat sinergi antara perniagaan pos dan logistik, selain untuk memanfaatkan permintaan yang berkembang dalam perkhidmatan e-perniagaan,” kata DRB-Hicom dipetik daripada Nikkei Asian Review.
Saham DRB-Hicom pada Selasa berakhir 5.7% lebih tinggi pada RM1.31 sementara penanda aras FTSE Bursa Malaysia jatuh 0.2%.
- FMT

Dulu Malaysia aman, kini bencana, kata Muhyiddin

muhyiddin,malaysia
PETALING JAYA: Sebelum ini Malaysia terkenal sebagai model negara membangun yang aman, stabil dan maju tetapi kini berdepan bencana, kata bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata apa yang rakyat mahukan sekarang ialah kenaikan harga barangan keperluan harian dibendung, pekerjaan berpendapatan mencukupi dan setimpal dengan kenaikan kos sara hidup serta peluang pekerjaan baharu diwujudkan.
Sehubungan itu, katanya rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik perlu bersama-sama menyelamatkan negara daripada kemusnahan dan kegagalan yang akan menjejaskan kehidupan.
“Tatkala rakyat sedang dihimpit masalah kehidupan yang semakin rumit, khazanah negara tidak diurus dengan telus. Salah guna kuasa dan penyelewengan berleluasa. Aset dan wang negara dicuri dan dibelanjakan secara boros.
“Malah, perdana menteri yang diamanahkan menjaga khazanah negara dan membela kebajikan rakyat mencuri duit rakyat tanpa rasa bersalah walau sedikit pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhyiddin berkata situasi pada hari ini amat mengecewakan rakyat dan ia bukanlah sesuatu yang didambakan rakyat.
“Rakyat mahu gejala rasuah diperangi habis-habisan, kemiskinan dihapuskan, kualiti pendidikan ditambah baik, kebebasan rakyat dipelihara, mereka mahukan sebuah kerajaan yang jujur, amanah dan berintegriti,” katanya.
Katanya, beliau bimbang jika keadaan ini berterusan Malaysia akan menjadi sebuah negara gagal dengan khazanah negara dirompak dan segala institusi kerajaan tidak lagi dapat berfungsi dengan baik.
“Ini bencana besar yang kita tidak pernah terfikir akan menimpa Malaysia. Sebagai rakyat sebuah negara yang merdeka dan cintakan negara, kita mahu Malaysia bangkit semula menjadi negara bermaruah dan dihormati dunia,” katanya.
Pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin menyerahkan pendaftaran parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Ibu pejabat Pendaftar Pertubuhan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut lantang mengkritik Datuk Seri Najib Razak dalam isu perbelanjaan syarikat pelaburan kerajaan 1MDB dan isu wang derma RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
- FMT

KJ bidas kenyataan Tee tidak bertanggungjawab, salah

khairy-jamaluddin-tee
KUALA LUMPUR: Kenyataan Ridhuan Tee Abdullah iaitu atlet “ultra kiasu” didorong oleh wang dan populariti bukannya patriotisme kepada negara dibidas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai satu penghinaan kepada ahli sukan Malaysia.
“Ultra kiasu” adalah istilah bersifat menghina yang digunakan oleh Tee untuk menggambarkan bukan Melayu, pihak pembangkang dan musuh Islam.
Khairy yang akui kecewa membaca komen itu, turut berpendirian kenyataan Tee sebagai “salah dan tidak bertanggungjawab.”
“Saya kenal atlet kita. Mungkin dia tidak pernah bertemu dengan mereka. Tanpa mengira kaum dan agama, mereka berjuang demi negara, demi Malaysia.
“Mungkin Tee tidak perlu lagi mengulas mengenai sukan,” tambahnya selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Bandar Tun Razak.
Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Tee yang disiarkan dalam ruangan mingguan setiap hari Isnin di akhbar Sinar Harian.
Dalam kolumnya itu, Tee mendakwa “ultra kiasu” lebih memilih untuk melibatkan diri dalam sukan individu dan bukannya berkumpulan yang memerlukan kerja berpasukan.
Bola sepak dan hoki yang memerlukan kekuatan “jamaah (berjemaah)” tidak lagi diminati bukan Melayu, kerana menurut Tee, acara individu sebagai lubuk jana wang.
Kata ahli akademik itu lagi, sukan menjadi bahan niaga dan platform untuk mencari populariti dan wang, bukan lagi mengenai patriotisme.
- FMT

Lebih ramai saksi kes salah guna kuasa bank dikesan SPRM

azam baki
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan lebih ramai saksi bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa bank, kata Pengarah Siasatannya Datuk Azam Baki.
Azam berkata SPRM mengesan mereka hasil rakaman percakapan orang yang ditahan.
“Kami merakam percakapan lebih 10 orang, termasuk pengarah urusan bank, kontraktor dan pihak swasta yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azam berkata saksi lain yang dikesan meliputi mereka yang memegang pelbagai jawatan dari seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya, jumlah saksi berhubung kesalahan rasuah itu belum dipastikan.
Pada 29 Ogos lepas, SPRM menahan pengerusi bank bergelar ‘Tan Sri’ bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan salah guna kuasa.
Tan Sri terbabit adalah orang ketiga dari bank itu ditahan SPRM berhubung kes yang sama.
Seorang pengarah urusan bergelar ‘Datuk’ ditahan pada 25 Ogos, dan seorang lagi pegawai sehari selepas itu.
- Bernama

SPRM tahan semula 3 individu seleweng dana RM15 juta

SPRM
PUTRAJAYA: Tiga individu yang dibebaskan selepas tahanan reman 5 hari bagi membantu siasatan berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan dana RM15 juta ke atas mereka berakhir semalam, ditahan semula.
Jurucakap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan semula di Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
Mereka merupakan antara 4 individu termasuk seorang pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk yang direman lima hari bermula 26 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes menerima rasuah dan salah guna kuasa.
Perintah kebenaran reman sehingga Jumaat ini itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman hari ini.
Ketiga-tiga mereka direman semula bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA), kata jurucakap tersebut.
Mereka yang ditahan semula ialah seorang bekas pengarah perolehan sebuah bank dan dua pemilik syarikat penerbitan.
- Bernama

Melayu masuk DAP gila nak jadi pemimpin, kata Bung Moktar

Bung-Mokhtar
PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Bung Moktar Radin hari ini menempelak sekumpulan anak muda Melayu yang menyertai DAP dengan menyalahkan Umno sebagai parti pengkhianat.
Katanya, Melayu menyertai DAP sehingga sanggup memburuk-burukkan Umno hanya kerana gilakan jawatan dan terlalu ghairah menjadi pemimpin.
Katanya, berbanding Umno, bukan mudah untuk parti Melayu itu memberikan jawatan kepada mana-mana individu dalam tempoh singkat.
“Pada saya minoriti anak muda Melayu yang menyertai DAP disebabkan mereka terlalu ghairah untuk menempatkan diri sebagai pemimpin.
“Dalam DAP walaupun diperkuda pemimpin senior DAP, tetapi kerana terlalu inginkan jawatan mereka sanggup menjadi kuda tunggangan DAP sehingga sanggup mencacai pemimpin Melayu dalam Umno.
“Pemimpin muda Melayu DAP ini ibarat si luncai dengan labunya, akhirnya mereka tidak ke mana-mana pun dan sekadar menjadi bola tendangan DAP,” katanya kepada FMT.
Bung berkata demikian sebagai mengulas kenyataan sekumpulan ahli Melayu DAP menuduh Umno sebagai parti pengkhianat dan tidak mempedulikan nasib orang Melayu yang mendorong mereka menyertai DAP.
Kumpulan 14 orang itu mengeluarkan kenyataan bersama membidas Ketua Pemuda Wilayah Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Rafii yang didakwa mengatakan DAP tidak pernah menghormati orang Melayu dan akan terus bersikap demikian jika berkuasa.
“Melayu di bawah Umno diternak seperti ayam daging, diberi dedak sehingga gemuk dan sihat, sebelum disembelih dengan masalah seperti GST, 1MDB serta ancaman ekonomi lain.
“Ayam yang dibela Umno ini disumbat rasa takut hilang kuasa dan takut kepada Cina. Inilah Melayu yang dididik Umno agar boleh disembelih dengan mudah bagi melanjutkan kuasa elit dalam parti itu,” kata kenyataan itu.
Bung berkata alasan yang diberikan sekumpulan anak muda Melayu DAP itu membuktikan mereka kecewa dengan perjuangan Umno ketika ini yang menerima sokongan padu anak muda.
“Alasan anak muda Melayu menyertai DAP dengan menuduh Umno mengkhianati orang Melayu, sesuatu yang tidak masuk akal dan kenyataan orang yang terlalu kecewa,” katanya.
- FMT

Batal ke Dubai, Jamal beri ketua cawangan Umno RM1000

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos hari ini membatalkan janjinya untuk membawa kesemua ketua cawangannya bercuti ke Dubai.
Sebaliknya, janji tersebut ditukarkan kepada wang tunai berjumlah RM1,000 kepada setiap ketua cawangan tersebut.
"Lima bulan lepas saya dah berjanji kepada 115 ketua cawangan tetapi hanya 80 yang bersetuju untuk dibawa bercuti ke Dubai.
"Justeru itu saya batalkan tawaran percutian tersebut dan kos percutian kita kongsi bersama yang mana setiap seorang perwakilan akan mendapat RM1,000," kata Jamal disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Jamal berkata demikian dalam majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sungai Besar kali ke 13 bagi tahun 2016 di Dewan Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, hari ini.
Setiap perwakilan dapat RM300?
Sementara itu, Jamal hari ini turut 'mengumumkan' pemberian RM300 kepada ketua cawangan Umno dan tambahan RM200 ketua bahagian Umno yang berdiri tanda sokongan kepada beliau dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta parti itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada beliau menyatakan perkara itu secara serius atau sekadar berseloroh.
“Saya minta semua perwakilan yang menyokong saya bangun dan berikan tepukan gemuruh,” kata Jamal diikuti dengan tindakan perwakilan.
“Okey, RM100 untuk semua,” kata Jamal.
Begitu juga perkara sama dilakukan apabila beliau meminta perwakilan berdiri sebanyak dua kali lagi untuk menyatakan sokongan kepada Zahid dan Umno BN.
Ia bermakna setiap perwakilan mendapat RM300 setiap seorang dan Jamal berkata tambahan sebanyak RM200 lagi akan diberi kepada ketua-ketua bahagian yang berdiri dan memberikan tepukan.
Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Noh Omar dalam ucapannya berkata beliau tidak akan memberikan RM1000 kepada ketua bahagiannya, sebaliknya RM2000 setiap seorang.
Noh bagaimanapun berkata Jamal boleh berbuat demikian kerana beliau hanya ketua bahagian.
“Kalau saya jadi Jamal saya bagi RM2,000 tetapi saya tidak boleh lakukan sebab saya wakil rakyat yang mana perlu menjaga 42,000 orang dan itulah yang membezakan ketua bahagaian dengan anggota parlimen,” kata Noh yang juga anggota parlimen Tanjong Karang.
- MK

'Budak kecil' minta Nazri jangan angkuh

Anggota Jawatankuasa Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman boleh dianggap "budak kecil" namun juara debat itu mengingatkan, orang "kecil" adalah pihak yang memilih seseorang ahli politik.
"Jangan angkuh. Orang kecil, budak kecil yang anda perlekeh adalah orang yang melantik anda dan tidak lama lagi menjadi orang yang menyingkirkan anda," katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Syed Saddiq berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz yang menganggapnya sekadar "budak kecil" dan tidak perlu dilayan.
Nazri memberikan reaksi itu pada 30 Ogos selepas Syed Saddiq menggesa pemimpin Umno tidak bersikap 'hipokrit'.
Kata Nazri tidak penting baginya untuk mengulas kenyataan pemimpin BERSATU itu.
"Dia seorang budak, saya tak kenal dialah. Tak penting. Kamu mahu saya ulas, (dia mesti) seorang ahli politik sebenar. Seseorang yang telah dipilih oleh rakyat," katanya
Menurut Syed Saddiq dia lebih rela dianggap "budak kecil" yang memperjuangkan kepentingan rakyat Malaysia berbanding "budak tua" yang memperjuangkan tuannya.
Dia juga berkata ada jutaan pengundi lain yang membawa Nazri 'berkuasa' (melalui pilihan raya) dan mereka juga boleh menyebabkan kejatuhannya.
- MK

TPM puji Jamal: Dia adil pada semua

Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos bukanlah seorang yang anti bukan Melayu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kata timbalan perdana menteri itu Jamal sudah membuktikan keikhlasannya dengan membantu orang bukan Melayu semasa pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar beberapa bulan lalu.
Bahkan, menurut pemangku timbalan presiden Umno itu lagi Jamal jugalah individu yang mendesak beliau agar membebaskan sekumpulan nelayan Cina yang ditangkap di perairan Indonesia sebelum itu.
"Jamal bukan antibukan Melayu. Beliau adil kepada semua orang bukan Melayu.
"Saya lihat dengan mata kepala saya sendiri dia adil kepada semua," kata Ahmad Zahid di Sungai Besar hari ini.
Zahid berada di kawasan itu untuk merasmikan mesyuarat tahunan Umno bahagian berkenaan.
Difahamkan Zahid berkata demikian ekoran pelbagai dakwaan dilemparkan pihak pembangkang kepada Jamal.
- MK

Harga RON 95, RON97 turun lima sen seliter

Harga petrol RON 95 dan RON 97 akan turun sebanyak lima sen bagi setiap liter berkuat kuasa esok, kata para peniaga petrol.
Harga RON 97 akan menjadi RM2.05 seliter manakala RON 95 pula berharga RM1.70 seliter bermula tengah malam ini.
Harga diesel bagaimanapun kekal tidak berubah pada RM1.70 seliter.
Harga diesel naik sebanyak 10 sen seliter pada bulan lepas.
Kerajaan sebelum ini menentukan harga bahan api itu melalui sistem apungan terurus.
- MK

Monday 29 August 2016

Kerajaan sedia tutup sekolah lagi jika jerebu bertambah buruk

MAHDZIR_KHALID
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini berkata sekiranya keadaan jerebu menjadi kritikal, pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan selain menutup sekolah seperti yang dilakukannya pada tahun lepas.

Beliau turut menolak cadangan bilik darjah di sekolah kerajaan dipasang alat penghawa dingin.

Jerebu hari ini dilihat semakin buruk di beberapa bandar di Lembah Klang termasuk Putrajaya, Petaling Jaya dan Shah Alam.

Bagaimanapun, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) setakat 2.00 petang menurut Jabatan Alam Sekitar adalah di paras sederhana, dengan Cheras dan Nilai mencatatkan bacaan tertinggi iaitu masing-masing 84 dan 82.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan 300 ke atas, berbahaya.

Tahun lalu, sekolah di Malaysia dan Singapura ditutup beberapa kali susulan keadaan jerebu pada paras tidak sihat disebabkan kebakaran ladang di Indonesia.

Hawa dingin

Mahdzir sebelum itu ditanya cadangan memasang alat penghawa dingin di bilik darjah bagi memelihara pelajar daripada pencemaran udara.

“Kita ada 10,179 buah sekolah. Boleh bayangkan kalau nak letak penghawa dingin di semua sekolah itu dengan kos kita nak kena tanggung setiap bulan, utiliti setiap bulan,” katanya pada sidang medianya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Kementerian Pendidikan dan Yayasan Peneraju Bumiputera Program Peneraju Tunas Geliga di sini hari ini.

Penasihat Persatuan Ibu Bapa sekolah Cina Jia Zong, Edward Neoh hari ini dilaporkan berkata sekolah kerajaan perlu menimbang pemasangan penghawa dingin di bilik darjah supaya sekolah tidak perlu ditutup sekiranya jerebu meruncing.

Mahdzir bagaimanapun berkata sekolah yang mampu memasang penghawa dingin adalah kerana sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta lembaga pengelola.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohd Ali Hassan ketika dihubungi FMT berpendapat, cadangan memasang penghawa dingin di bilik darjah boleh dilaksanakan tetapi bergantung kepada dana sekolah.

“Bagi sekolah biasa yang ada kemampuan saya rasa tak patut dihalang. Tetapi bagi mereka yang tidak mempunyai dana yang cukup, mungkin penggunaan kipas mencukupi. Kipas yang ada perlu dibaiki atau ditambah.

“Kemudian saya kira persekitaran sekolah mesti banyak tumbuh-tumbuhan hijau. Konsep sekolah yang hijau di samping jangka masa panjang amat penting. Penghawa dingin saya rasa ok dapat membantu tetapi dari jangka masa panjang ia memberi kesan yang kurang baik kepada alam sekitar,” katanya.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan menyatakan pihaknya menolak cadangan agar memasang penghawa dingin di bilik darjah kerana kos yang tinggi.

“Melainkan negara kita ini duit dah banyak sangat. Kalau nak pasang penghawa dingin tu, pasang satu Malaysia tak mungkin akan berlaku.

“Sebab banyak lagi benda yang asas, masih lagi tak ada di peringkat sekolah itu. Kalau sekiranya PIBG itu duit dia banyak, kalau dia pasang, NUTP tak ada halangan sekolah nak pasang menggunakan duit PIBG contohnya,” tegasnya.

- FMT

Gerakan dedah video bapa Adun DAP terlibat rasuah

Penang-YB's-dad-caught-on-camera-in-possible-bribe-scandal
GEORGE TOWN: Bapa kepada seorang Adun Pulau Pinang didakwa meminta “rasuah” untuk “potong barisan” bai mendapatkan unit perumahan mampu milik di negeri itu selepas videonya sedang melakukan perbuatan itu didedahkan, dakwa Gerakan hari ini.

Naib Presiden 1 Gerakan Pulau Pinang I Oh Tong Keong berkata video itu, yang didedahkan di laman web Facebook Penang Kini – menunjukkan seorang lelaki dipercayai individu bernama Lim Keat Seong, bapa Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim sedang “berkelahi” berhubung bayaran “rasuah” itu.

Tong Keong berkata berdasarkan analisis terhadap video itu, Keat Seong didakwa mengutip bayaran untuk unit perumahan itu, tetapi gagal menunaikan janjinya.

“Mereka (pelanggan Keat Seong) diminta membayar RM260 untuk borang dan kemudian “Agent Lim” atau “Uncle Lim” akan mengesahkan mereka akan dapat unit mampu milik itu.

“Namun, berdasarkan video itu, nampaknya pelanggan Uncle Lim meminta semua wang mereka dikembalikan, kerana janji mendapat rumah mampu milik itu tidak ditepati,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Gerakan di sini, hari ini.

Siew Khim, ketika dihubungi berkata beliau akan mengadakan sidang akhbar untuk menjelaskan isu itu.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Kecil Anti Rasuah dan Tanah Gerakan Pulau Pinang, Hng Khoon Leng berkata isu itu bukan perkara baru dan mendakwa menerima banyak maklumat mengenainya.

“Kami terima banyak maklumat mengenainya, tetapi tidak ada bukti.

“Hari ini kami dapat video untuk mengesahkannya. Kami sekarang yakin untuk mengatakan kebanyakan projek perumahan negeri terbabit dengan amalan rasuah,” katanya pada sidang media sama.

Tong Keong sependapat dengan Khoon Leng berkata, orang tengah seperti ini menafikan pemohon yang lebih layak untuk mendapatkan rumah mampu milik.

Mereka menasihatkan sesiapa yang membayar untuk memohon mendapatkan perumahan negeri membuat aduan kepada Gerakan serta-merta atau menghubungi Khoon Leng di talian 012-409-871.

- FMT

Ada 279 halaman dalam pendrive, kata Khairy

khairy-jamaluddin
PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata beliau memerlukan masa untuk membaca semua dokumen yang terkandung dalam pendrive yang diserahkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, beliau hanya mula membaca secara terperinci kandungannya malam tadi dan mengakui tidak boleh menghabiskannya dalam masa satu malam.

Pendrive itu didakwa mengandungi maklumat mengenai ketirisan dan salah laku dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ada 279 halaman mengenai laporan itu dalam pemacu pena tersebut. Ia diberikan kepada saya pada Jumaat. Saya mempunyai sedikit waktu lapang pada Sabtu dan Ahad tetapi masih terlibat dalam beberapa program seperti FitMalaysia pada Sabtu dan satu lagi acara pada sebelah petang.

“Saya hanya dapat membacanya malam tadi. Anda perlu beri saya sedikit masa untuk membaca semua dokumen itu. (Selepas itu) Saya akan maklumkan kepada anda langkah seterusnya,” kata Khairy.

Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan lain mengenai pemacu pena itu.

Terdahulu, Khairy melancarkan acara separuh maraton HSN21KM tajaan Proton Holdings Berhad yang akan menjadi acara utama sambutan Hari Sukan Negara pada 8 Oktober ini di Dataran Merdeka, di kementeriannya.

Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menyerahkan pendrive yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku FAM kepada Khairy.

Tunku Ismail memutuskan untuk menyerahkan pendrive berkenaan kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM, selain mahu memberi tumpuan kepada kelabnya.

- Bernama

Felda Global Ventures catat untung naik 35%

Datuk-Zakaria-Arshad
KUALA LUMPUR: Pengusaha peladangan sawit ketiga terbesar dunia, Felda Global Ventures, melaporkan kenaikan perolehan sebanyak 35% untuk suku tahun kedua, disokong pengeluaran minyak sawit mentah yang kuat menyusuli langkah merangsang hasil buah sawit.

Keuntungan bersih syarikat Malaysia itu naik ke paras RM62.2 juta pada suku tahun yang berakhir pada Jun daripada RM46.1 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Hasil pula turun sedikit kepada RM4.14 bilion daripada RM4.19 bilion tahun sebelumnya.

“Peningkatan harga komoditi memberi gambaran perolehan yang menyakinkan dan kami dalam kedudukan yang baik untuk mengambil kesempatan daripada bekalan yang sempit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Datuk Zakaria Arshad dalam satu kenyataan.

Pengeluaran minyak sawit ketat tercerut tahun ini lantaran kesan El Nino yang membawa cuaca panas dan kering ke Asia Tenggara, menjejaskan tanaman dan menyebabkan hasil buah menurun.

Felda, yang melaksanakan langkah menambah baik hasil buah, melaporkan kenaikan hasil setiap hektar sebanyak 35% daripada suku tahun sebelum ini, sementara kos purata pengeluaran minyak sawit mentah turun 9%.

Syarikat mengumumkan keputusannya ketika Bursa Saham Kuala Lumpur berehat pada tengah hari. Sebelum itu, sahamnya didagangkan 0.9%, mengatasi penurunan 0.2% di indeks tanda aras.

- Reuters

Mahkamah Rayuan batal larangan terhadap barangan Bersih 4

Bersih-4,-Bersih-2.0,-T-Shirts,-Maria-Chin
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan larangan terhadap bahan Bersih 4 termasuk kemeja T, oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Panel itu diketuai Hakim Datuk Zawawi Salleh dalam keputusannya hari ini berkata arahan dikeluarkan menteri itu tidak munasabah.

“Berdasarkan kepada afidavit menteri, insiden seperti ‘memijak gambar pemimpin’ dan ‘agihan untuk sambutan Merdeka’, hanya dibuat selepas arahan itu diwartakan pada 24 Ogos tahun lalu,” katanya.

Terdahulu, hakim mendengar hujahan daripada peguam Edmund Bon bagi pihak jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 dan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Asmabi Mohamad, membenarkan rayuan Bersih 2.0 dan membatalkan keputusan menteri dalam negeri.

“Maka, keputusan menteri itu tidak ada kesan,” kata Zawawi.

Tiada perintah kos dibuat.

Zawawi berkata hakim Rahman akan menyediakan penghakiman bertulisan panel berkenaan.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah, bendahari Masjaliza Hamzah dan Nadiah Fadwa Fikri memfailkan semakan kehakiman tahun lalu, mencabar menteri dalam negeri dan kerajaan berhubung sekatan terhadap barangan kelengkapan Bersih 4.

Larangan itu, berkuat kuasa dari Ogos tahun lalu, dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

Seksyen itu menyatakan apa-apa yang digambarkan dalam Jadual dilarang sama sekali di seluruh Malaysia, jika mereka akan memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, kepentingan negara dan bertentangan dengan mana-mana undang-undang.

Jadual itu merujuk kepada percetakan, pengimportan, pengeluaran, pengeluaran semula, penerbitan, jualan, edaran, agihan atau pemilikan percetakan.

Mahkamah Tinggi pada Februari tahun ini menolak cabaran Bersih 2.0 terhadap keputusan KDN untuk mengharamkan barangan Bersih 4.

Mahkamah dalam keputusannya berkata menteri, ketika mengeluarkan larangan itu melaksanakan budi bicaranya.

Perhimpunan Bersih 4 diadakan tahun lalu selama 2 hari, dari 29 hingga 30 Ogos di sekitar Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, di Kota Kinabalu dan Kuching serta 70 bandar di seluruh dunia.

- FMT

Peneroka tidak percaya Felda lagi, mahu urus ladang sendiri

Bahasa,-Felda,-tadbir-urus,-peneroka
PETALING JAYA: Tadbir urus ladang yang lemah menyebabkan peneroka mahu menjaga ladang sendiri selepas hilang kepercayaan terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Seorang peneroka di Felda Chiku 3, Nik Mohamad Wan Isa, 66, berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menguruskan ladangnya yang semakin tidak terurus dan merugikan.

“Saya memang tidak puas hati dengan tadbir urus ladang. Pertama, dari segi kutipan hasil apabila lebih 50% buah sawit masak tidak diambil, malah ditinggalkan bersepah di bawah pokok.

“Kuantiti yang ditinggalkan itu bukan sedikit, malah ada sesetengah pokok tujuh hingga lapan tandan dibiarkan rosak. Ini bukan perkara baru dan saya sendiri kecewa dengan khidmat diberikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi peneroka, Nik Hassan Ismail, 61, berkata selain proses pungutan hasil, kerja membaja juga tidak dilakukan dengan cara betul.

“Pekerja membaja ikut rasa. Ada sebahagian pokok dibaja dan ada yang ditinggalkan begitu sahaja. Ada yang terlebih baja dan ada yang langsung tidak dibaja.

“Sebab itu pokok tidak mampu mengeluarkan hasil yang konsisten. Malah, kawasan ladang juga tidak dibersihkan dan dibiarkan semak tanpa pengawasan serta pemantauan,” katanya.

Peneroka berusia 65 tahun, Mat Yaakob Dolah berkata, masalah itu sudah dibangkitkan beberapa kali, namun diabaikan wakil Felda.

“Kita sayang Felda, mahu terus bersama Felda sampai bila-bila. Tapi melihat kepada tadbir urus mereka, jadi serba salah.

“Peneroka bukan mahu jatuhkan Felda, tetapi memperbetulkan cara kerja agar hasil itu dapat dinikmati,” katanya.

- SinarHarian

Mufti Perak anggap ‘anugerah’ menyindirnya satu penghinaan

harussani
PETALING JAYA: Tan Sri Harussani Zakaria menganggap tindakan sebuah pertubuhan menobatkan anugerah “menghina kebijaksanaan” kepadanya semalam sebagai suatu penghinaan terhadap dirinya.

Mufti Perak itu turut membidas Kumpulan Bertindak Bersama bagi Kesaksamaan Gender (JAG) dan Inisiatif Kesaksamaan Gender (GEI), yang menganjurkan anugerah tahunan “Aiyoh Wat Lah” bagi menyenaraikan kenyataan paling tidak masuk akal oleh pemimpin dan penjawat awam, sebagai tergolong dalam kategori “jahil murakkab” (bodoh berganda-berganda) kerana tidak memahami hukam Islam.

“Apa benda yang tidak masuk akalnya. Saya tidak pernah cakap benda tidak masuk akal. Saya cuma kata ikut hadis Nabi Muhammad, isteri wajib patuhi arahan suami.

“Ini satu penghinaan kepada saya. Saya cakap benda yang benar. Mereka tidak faham. Lagi satu, mereka ini jahil murakkab (berganda-ganda),” katanya kepada FMT.

Semalam, majlis “Aiyoh Wat Lah” yang diadakan di Petaling Jaya menamakan Harussani antara mereka mengeluarkan kenyataan kontroversi yang tidak masuk akal.

Ia memetik kenyataan mufti itu pada April 2015 yang mewajibkan isteri bersetuju mengadakan hubungan seks dengan suami walaupun “mereka menunggang di belakang unta”.

Selain Harussani, turut dinamakan JAG dan GEI dalam “anugerah” itu ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Anugerah itu diadakan bagi memastikan pegawai awam bertanggungjawab ke atas kenyataan atau tindakan mereka.

Harussani berkata beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai anugerah “Aiyih Wat Lah”.

“Saya bercakap dari segi hukum syarak. Hukum mereka pula pelik, suami suruh isteri, isteri tak setuju buat apa. Apa makna kahwin. Itu lagi tak masuk akal. Gila punya pendapat,” katanya.


- FMT

Berarak Di Hadapan Tunku Abdul Rahman Dengan Bangga

Velayuthan (berdiri tiga dari kanan) menceritakan pengalaman manis berarak di hadapan Tunku Abdul Rahman.

SEREMBAN: Warga emas berusia 83 tahun, V. Velayuthan masih lagi ingat dengan jelas ketika dia berarak memasuki Stadium Merdeka bersama 12 ahli Pengawal Kampung (Home Guard) Ulu Temiang sempena sambutan Hari Kebangsaan pada pagi 31 Ogos 1957.

Velayuthan yang pasukannya menerima surat pujian tiga bulan lebih awal daripada pemerintah negeri dan Ketua Pengawal Persekutuan Tanah Melayu, mengimbau kembali detik mereka berarak dalam keadaan hujan lebat.

"Pasukan saya dijemput untuk hadir ke majlis itu dan diberi penghormatan mengambil bahagian dalam perarakan di hadapan (Perdana Menteri pertama) Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa orang kenamaan lain.

"Kami tinggal dan berlatih di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur selama seminggu sebagai persediaan untuk acara itu," katanya.

Velayuthan yang ibu bapanya berhijrah dari Kerala, India pada 1929 masih ingat hujan turun dengan lebatnya apabila mereka keluar dari kem tersebut pada pukul 5 pagi.

"Walaupun hujan, kami perlu berbaris dan menaiki trak untuk masuk ke dalam stadium.

"Ketika kami memasuki stadium beberapa minit sebelum pukul 10 pagi, hujan masih tidak berhenti tetapi semangat kami tetap membara," katanya.

Velayuthan berkata beliau masih teruja ketika menceritakan mengenai peristiwa penting itu kepada keluarga dan rakan-rakan.

"Ia satu penghormatan untuk berada di sana dan menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah," kata Velayuthan yang juga bapa kepada lima anak.

Velayuthan yang bekerja dalam bidang pencetakan akhbar berkata pasukannya dipilih dari ratusan individu untuk menyertai Pengawal Kampung di Ulu Temiang yang dahulunya dikenali sebagai kawasan hitam.

"Selepas dipilih, kami dihantar ke sebuah kem di Port Dickson untuk menjalani latihan selama tiga bulan.

"Saya masih lagi ingat kami perlu mandi di laut kerana sukar mendapat bekalan air paip pada waktu itu," katanya.

Beliau berkata selepas menamatkan latihannya, seorang pegawai yang hanya dikenali sebagai Ah Lim mengetuai pasukannya dan mereka ditugaskan untuk mengawal kawasan hutan di Ulu Temiang selama dua jam setiap malam.

"Walaupun kami hanya dibayar elaun bulanan sebanyak $17 (Malaya), tiada siapa mengadu," katanya.

Velayuthan berkata pengalaman bersejarah dilakar pasukan itu pada pukul 9.30 malam, 31 Mac 1957 apabila mereka menembak mati dua pemberontak komunis.

"Ketika kami terserempak dengan pemberontak itu, mereka bertanya sama ada kami adalah Pengawal Kampung. Belumpun kami sempat berkata apa-apa mereka melarikan diri.

"Walaupun teriakan kami terhenti beberapa kali, pemberontak tetap berdegil," katanya.

Velayuthan berkata pasukannya terpaksa melepaskan tembakan apabila dua daripada tiga pemberontak itu terlebih dahulu berkelakuan ganas.

"Kami juga menemui $40,000 (Malaya) dari mereka dan menyerahkan wang itu kepada ketua kami," katanya.

Di atas keberanian mereka, setiap ahli pasukan itu menerima ganjaran sebanyak $1,500 dan $2,000 (Malaya) bergantung kepada pangkat masing-masing.
 
- mStar

Mahathir sudah minta maaf, Umno pula bila?

Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) menyeru Umno tidak “hipokrit” terhadap permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membataskan kuasa Yang di-Pertuan Agung ketika berkuasa.

Mengakui Mahathir pernah silap, pemimpin muda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bekas perdana menteri itu sekurang-kurangnya telah meminta maaf.

“Bagaimana pula dengan Umno?

“Tak salah ingin menegur. Tapi, bersihkanlah halaman sendiri dulu sebelum nak membersihkan halaman orang lain.

“Jangan jadi hipokrit,” kata bekas pendebat terbaik Asia itu.

Mahathir pada 25 Ogos memohon maaf kerana meminda perlembagaan supaya kelulusan dan tandatangan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Katanya, dengan tindakan itu, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru telah mula berkuat kuasa, walaupun Agong tidak menandatanganinya.

Syed Saddiq membangkitkan perkara itu susulan kritikan terbaru pemimpin Umno berkaitan kenyataan Mahathir berkaitan Bangsa Johor.

Mahathir berkata menyemarakkan semangat kebangsaan negeri seperti bangsa Johor tidak sihat untuk Malaysia dan boleh membawa kepada keruntuhan persekutuan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim almarhum Sultan Iskandar turut memberitahu Mahathir supaya menutup mulut daripada membuat kenyataan liar.

Baginda berkata “dia berkeliaran memecah belah rakyat, termasuk orang Melayu, semasa saya sedang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum”.

Bagaimanapun, Syed Saddiq mempertikaikan sikap Umno selama ini terhadap sistem raja berperlembagaan.

“Di manakah Umno apabila Majlis Keselamatan Negara diluluskan tanpa kelulusan daripada Majlis Raja-raja?

“Bahkan permintaan Majlis Raja-raja agar rang undang undang ini digubal semula pada 17 Februari tahun ini tidak diendahkan; di manakah Umno-BN?” soalnya.

Beliau juga membangkitkan kenyataan seorang menteri Umno yang memberi amaran supaya Tunku Mahkota Johor sedia untuk dibelasah jika mencampuri urusan politik sebelum ini.

Begitu juga dengan kenyataan anggota parlimen Langkawi Datuk Nawani Ahmad di media sosial bahawa Malaysian Official 1 (MO1) adalah Agong.

Beliau dilaporkan berkata tidak merujuk kepada MO1 yang disebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menyita harga berkaitan 1MDB, sebaliknya menyebut “Malaysia Official Number One”.
- MK

Kes Seleweng RM15 Juta: SPRM Soal Siasat Jeneral Bersara

PETALING JAYA: Seorang jeneral bersara yang juga pengerusi sebuah bank berkaitan kerajaan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat berkaitan kes penyelewengan bernilai RM15 juta.

Lelaki berusia 65 tahun itu akan menjadi individu kedua dari institusi kewangan yang sama dipanggil oleh SPRM berhubung kontrak penerbitan buku bernilai jutaan ringgit dan projek menaik taraf sistem perbankan itu.

Pengarah Urusan bank tersebut yang berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes sama bersama empat yang lain pada Khamis.

Difahamkan kontrak bernilai RM15 juta diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan untuk menghasilkan sebuah biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Antara perjanjian itu adalah penerbit perlu mencetak kira-kira 20,000 salinan penerbitan itu tetapi jumlah yang dicetak jauh lebih rendah.

Sumber berkata beberapa bank akaun berjumlah kira-kira RM10 juta dibekukan SPRM berhubung kes itu.

Seorang lagi sumber memberitahu The Star, SPRM mengesyaki beberapa individu bekerjasama untuk menggelapkan wang tersebut.

"SPRM juga sedang mengesan dalang kes ini," kata sumber itu.

Seorang jurucakap SPRM berkata perintah reman terhadap lima suspek termasuk pengarah urusan itu dilanjutkan selama dua hari sehingga Selasa ini.

SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia dalam lingkungan 40-an pada Sabtu untuk membantu siasatan kes ini.

Dia turut direman sehingga 2 September ini.

Enam suspek ditahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM kerana salah guna kedudukan.

Ketika dihubungi, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan yang dibuat pada Sabtu.

Dalam kes berasingan, SPRM turut membekukan 17 akaun bank berjumlah RM5.5 juta berhubung penyalahgunaan kuasa dalam projek saluran paip minyak bernilai jutaan ringgit.

Suruhanjaya itu turut merampas sebuah rumah teres, beberapa kenderaan mewah termasuk empat Rolls-Royce, sebuah Ferrari dan Toyota, selain dua motosikal.

Sumber berkata lapan individu termasuk tiga wanita ditahan pada Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap semua suspek akan berakhir esok.

Seorang pengarah urusan sebuah syarikat minyak dan gas didakwa menerima rasuah daripada sub kontraktor untuk melantiknya dan meluluskan invois palsu bagi projek bernilai RM76 juta itu.

- TheStar

Saiz bukan ukuran di kala rakyat lesu, kata penganjur protes ‘tangkap’

anis-tangkapmo1
KUALA LUMPUR: Aktivis muda Anis Syafiqah Md Yusof berkata protes #TangkapMO1 Sabtu lalu tidak diukur melalui saiz penyertaan, tetapi apa yang penting ialah mesej yang ingin disampaikan.

“Bagi saya jumlah yang ada sudah cukup memberangsangkan dalam keadaan rakyat letih mengambil tahu tentang politik dan isu negara,” katanya kepada FMT semalam, sehari selepas memimpin lebih 2,000 orang berhimpun di Kuala Lumpur bagi menuntut kerajaan menyiasat orang yang diberi nama “Malaysian Official 1” (MO1) dalam dakwaan salah laku berbilion dolar melibatkan 1MDB.

Anis berkata beliau berpuas hati dengan semangat yang ditunjukkan peserta di kala rakyat kelihatan tidak bersuara walaupun selepas dokumen 130 muka surat yang diterbitkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bulan lalu menamakan beberapa watak yang dekat dengan pimpinan negara.

“Bagi kami walaupun bilangan peserta tidak sebanyak himpunan Bersih, tetapi sekurang-kurangnya kami sudah mencetuskan kebangkitan semula rakyat Malaysia yang lama lesu tentang kesedaran kepentingan isu-isu negara,” kata Anis, yang merupakan suara paling lantang penganjur #TangkapMO1 Sabtu lalu.

Kebanyakan peserta terdiri daripada kumpulan pelajar universiti, yang turut serta walaupun pihak pengurusan beberapa pusat pengajian tinggi memberi amaran tindakan akan diambil.

Selain saiznya, perhimpunan #TangkapMO1 itu turut berbeza daripada Bersih 4 yang diadakan genap setahun lalu, dari segi komposisi kaum.

Tahun lalu, beberapa pihak mendakwa Bersih 4 disertai majoriti kaum Cina, manakala kali ini #TangkapMO1 mendapat penyertaan ramai belia Melayu.

“Tidak ada masalah rasis dan sebagainya, sebab memang semua rakyat Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India ada satu kesedaran yang mahukan perubahan,” kata Anis.

“Sekurang-kurangnya tidak, dapat desak pihak berkuasa ambil tindakan selepas himpunan aman ini, kita dapat berikan kesedaran untuk mereka bangkit,” katanya.

Bekas pensyarah undang-undang Dr Abdul Aziz Bari turut bersetuju saiz tidak menjadi keutamaan dalam menilai kejayaan himpunan #TangkapMO1 kerana ia dianjurkan anak muda daripada kumpulan pelajar.

“Mungkin organisasinya kecil tak sebesar himpunan Bersih.

“Tetapi himpunan untuk anak muda sudah memadai. Maknanya tak semestinya gagal,” katanya.

Aziz berkata pihak penganjur juga cermat tidak menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara terang-terangan pada himpunan itu.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi mengaitkan rujukan MO1 kepada Najib, walaupun ia tidak dinafikan secara jelas.

“Respon diberikan pihak berkuasa juga baik disebabkan mereka (penganjur) tidak mengatakan MO1 itu Datuk Seri Najib Razak.

“Sebaliknya hanya mendesak individu MO1 itu ditangkap dan disabitkan kesalahan,” katanya.

- FMT

Ya, saya kongsi pentas pembangkang, Anifah jawab Shafie

anitah-syafie
KIMANIS: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakannya berkongsi pentas dengan pembangkang untuk menyelidik Perjanjian Malaysia 1963 disalahtafsir bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Salah tafsir itu berlaku ketika beliau Shafie menyampaikan beberapa ceramah di Sabah bulan lepas.

Malah, Anifah berkata penglibatannya dalam beberapa program dengan pembangkang itu pada tahun lepas juga dipersoalkan sehinggakan tindakan disiplin dari Umno tidak pula diambil terhadapnya kerana berbuat demikian.

Beliau mengaku terlibat dalam program itu, tetapi bukan atas kepentingan dirinya sendiri dan penglibatannya itu turut beliau maklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Benar, saya sepentas dengan pembangkang. Tetapi saya mahu orang-orang Sabah tahu, tidak ada yang lebih utama dalam prinsip perjuangan saya melainkan hak dan kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya pada Persidangan Perwakilan Umno Kimanis di Dewan Membakut sini semalam.

Anifah, yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis, berkata beliau pernah menjemput Shafie untuk turut serta menyelidik Perjanjian Malaysia 1963, tetapi ditolak.

“Padahal, ia (penyelidikan Perjanjian Malaysia 1963) jelas untuk memperjuangkan hak orang Sabah, tetapi beliau (Shafie) berkeras tidak mahu turut serta.

“Malah, beliau (Shafie) marah saya kerana saya sepentas dengan pembangkang,” katanya.

Anifah berkata beliau kesal dakwaan Shafie mengenai permohonan peruntukan untuk membangunkan infrastruktur di Kimanis ketika Shafie menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menurutnya, Shafie mendakwa dalam ceramahnya bahawa Anifah, yang juga ahli Parlimen Kimanis, memohon jumlah yang sikit untuk pembangunan infrastruktur di kawasan itu.

“Saya minta RM50 juta, tetapi beliau kata saya ada pergi ke pejabatnya untuk minta RM500,000. Ini cukup menghina rakyat di Kimanis, cukup menghina rakyat di Sabah.

“Apa sahaja yang boleh kita buat dengan RM500,000 sedangkan beliau ada bajet RM15 bilion ketika di KKLW,” katanya.

Pada persidangan itu, Umno Kimanis sebulat suara menyokong usul memberi sokongan penuh kepada Najib sebagai pemimpin parti dan kerajaan.

Umno bahagian itu juga menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

- Bernama

Sunday 28 August 2016

Baju Merah kesan 35 pelajar sertai demo #TangkapMO1

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos yang mengetuai Gerakan Baju Merah mendedahkan motif di sebalik kehadiran aktivis dari kumpulan prokerajaan itu di perhimpunan #TangkapMO1 di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam sidang media di luar ibu pejabat Umno hari ini, Jamal berkata mereka berada di sana untuk aktiviti pemantauan ke atas para peserta.
Jamal berkata pihaknya mengenal pasti 35 mahasiswa pada perhimpunan tersebut yang menurutnya boleh dikenakan tindakan kerana menyertai perhimpunan berkenaan.
"Saya yakin ada 35 orang (pelajar) kami kenal pasti akan dikenakan tindakan disiplin dan mungkin tindakan undang-undang.
"Malangnya pada keluarga ibu bapa, mereka," katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada pergerakan itu akan melaporkan perkara itu kepada jabatan hal ehwal pelajar universiti masing-masing atau pihak berkuasa lain.
Orang kanan Jamal, yang dikesan berada di luar kompleks beli-belah Sogo semalam sebelum pelajar berarak ke Dataran Merdeka, turut hadir dalam sidang akhbar itu.
Kira-kira 300 orang dalam gerakan itu hadir yang didakwa kumpulan itu mewakili beratus-ratus kaum Melayu, Cina dan India.
Kumpulan Jamal adalah salah satu daripada pergerakan Baju Merah.
Kumpulan yang lain diketuai oleh Datuk Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju, yang berpecah dengan Jamal selepas perselisihan faham.
- MK

SPRM Perlis tahan pegawai imigresen disyaki rasuah

Image result for SPRM Perlis tahan pegawai imigresen disyaki rasuah
Gambar Sekadar Hiasan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai imigresen yang didakwa meminta rasuah RM8,000
daripada seorang kontraktor.
Pengarah SPRM Perlis Yaacop Angah berkata pegawai lelaki berusia 30-an itu ditahan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kangar dua hari lalu selepas menerima aduan daripada kontraktor itu pada hari sama.
Kontraktor itu dalam aduannya mendakwa pegawai itu meminta suapan sebagai balasan untuk tidak menahan 20 hingga 30 pekerja asing di tapak binaan lencongan banjir Kampung Wai, Kuala Perlis, katanya dalam kenyataan di Kangar, hari ini.
Yaacop berkata SPRM turut menahan seorang juruteknik lelaki sebuah kilang di Kangar juga berusia 30-an yang disyaki terlibat sama meminta suapan itu.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu reman tiga hari bermula semalam untuk siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-Bernama

Hisham: Jangan putus harap dengan kaum Cina

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menasihatkan anggota parti itu supaya jangan berputus asa dengan pengundi Cina walaupun BN kalah di beberapa kawasan pada pilihan raya umum yang lalu.
Dengan memberikan contoh kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak serta Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar, Hishamuddin berkata, apa yang penting ketika ini ialah membuktikan kepada kaum tersebut bahawa BN mampu membela nasib mereka.
"Pengalaman kita di Sarawak, di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar, kita jangan berputus asa dengan sokongan kaum Tiong Hwa.
"Ini banyak bergantung pada cara kita membawa diri kita dan bagaimana mereka dapat melihat bahawa pemimpin-pemimpin kita dapat membela mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Umno bahagian Bukit Katil, Melaka.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Ali Rustam pula berharap pengundi Cina bersama-sama BN untuk merampas kembali parlimen Bukit Katil.
Ali Rustam rayu pengundi Cina
Sambil menceritakan kembali kemenangannya ketika bertanding pilihan raya umum sejak 1999, Ali berkata kekalahannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 merupakan pertama kali dalam sejarah apabila kesemua peti undi Cina tidak memihak kepadanya.
"Pengundi Cina, kembalilah semula ke BN. Dulu bukan tak bagi (undi), tapi sikit sangat. Semua peti undi majoriti Cina, semua kita kalah. Mana pernah saya kalah sejak bertanding pada 1999 dan menjadi ketua menteri.
"Tak pernah. Ini kali pertama dalam sejarah semua peti undi Cina saya kalah," katanya.
Justeru, ketua Umno bahagian Bukit Katil itu meminta supaya masyarakat Cina di negeri itu memberi peluang kepada BN dengan mengundi parti berkenaan pada pilihan raya umum akan datang.
"Jadi kita minta kawan-kawan kita lupakan PRU13 kerana masa itu ada 'Inikalilah'. Tetapi sekarang, 'Inikalilah kita ambil Bukit Katil'. Kita kena betul-betul ikhlas, Insha Allah, Umno pun kena bekerja keras juga.
"Saya harap semangat pada pilihan raya umum 2004 dibawa pada pilihan raya tahun depan atau 2018 nanti," katanya yang turut membayangkan pilihan raya umum akan diadakan kira-kira 10 bulan dari sekarang.
Rampas Bukit Katil
Bagi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pula merayu kepada parti komponen BN- MCA dan Gerakan agar membantu mereka merampas semula parlimen Bukit Katil daripada PKR.
Katanya, untuk mencapai kemenangan di kawasan itu, Umno tidak boleh bekerja sendirian sebaliknya ia memerlukan kerjasama daripada semua parti komponen.
"Kita rampas balik parlimen Bukit Katil. Pada rakan-rakan daripada MCA, Gerakan, tolonglah, kami memerlukan bantuan anda. Jika (orang) Melayu sahaja sendirian, kita tidak boleh dapatkan semula Bukit Katil. Tolong MCA, Gerakan.
"Tolong kita untuk hadiahkan pada orang Bukit Katil seorang anggota parlimen yang berwibawa, yang boleh berkerja dan berkhidmat sepanjang masa untuk rakyat Bukit Katil. Ini sumpah BN," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh kira-kira 500 perwakilan Umno.
Pada pilihan raya umum ke-13, Ali yang juga bekas pengerusi BN Melaka hanya mendapat 40,720 undi- tewas kepada Shamsul dengan majoriti sebanyak 5,447 undi.
Shamsul mendapat 46,167 undi.
Ekoran kekalahan itu, Ali kecewa dengan pengundi Cina kerana tidak menyokong BN pada pilihan raya umum yang lalu.
- MK

Hishammuddin bidas Dr Mahathir cakap tak serupa bikin

hishamuddin-mahathir
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Hishammuddin Hussein meragui keikhlasan Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf atas tindakannya memansuhkan perkenan raja-raja untuk mewartakan undang-undang baharu, 23 tahun lalu.
Naib Presiden Umno itu berkata, tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau tidak konsisten dengan apa yang diperjuangkannya untuk masa depan Malaysia.
Beliau berkata, jika tindakan Dr Mahathir mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mewartakan undang-undang baharu adalah betul, beliau tidak perlu memohon maaf.
“Hujah yang diketengah Tun ketika itu ialah untuk memastikan tidak ada institusi tertentu yang menidakkan usaha kerajaan untuk bangunkan negara dan bangsa.
“Tetapi, hari ini hujahnya berbeza dan kadang-kadang kita tertanya-tanya sama ada (Dr Mahathir) betul-betul ikhlas sokong benda itu (mansuh perkenan Raja-raja Melayu) sehingga dia memohon maaf. Cakap tak serupa bikin,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Gombak di Setiawangsa, hari ini.
Khamis lalu, Dr Mahathir meminta maaf atas tindakannya meminda Perlembagaan Persekutuan pada 1993 yang menyaksikan rang undang-undang diluluskan di Parlimen dan Dewan Negara akan menjadi undang-undang dalam tempoh 30 hari, selepas dipersembahkan kepada Agong, dengan atau tanpa persetujuan baginda.
“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran yang berbeza,” kata bekas perdana menteri itu menerusi blognya.
Kesan daripada pindaan itu, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) diwartakan dan menjadi undang-undang mulai 1 Ogos lalu walaupun tanpa persetujuan Agong.
Mengulas lanjut, Menteri Pertahanan itu berkata, banyak perkara yang perlu dilakukan kerajaan sekiranya mahu membuat pindaan semula terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak boleh alih tiang gol, kerana kita juga terpaksa bertanggungjawab di atas tindakan yang dilakukan ketika itu yang mana kita (Umno) memimpin ketika itu.
“Perlakuan itu akan dinilai generasi akan datang dan ini akan jadi satu perkara dihakimi generasi lepas kita ini,” katanya.
- FMT

Jangan lari dari Tanjung, gesa Shahrizat kepada Bumiputera Pulau Pinang

shahrizat
GEORGE TOWN: Bumiputera di Pulau Pinang digesa terus kekal mendiami kawasan bandar negeri itu dan tidak perlu takut dengan agenda pakatan pembangkang, kata Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
“Ini (yang) menjadi agenda belah sana…dia akan bawa orang luar beli rumah di sini…dia akan mempunyai pelan strategik.
“Bumiputera Pulau Pinang jangan takut atau gementar, jangan lari daripada Tanjung…,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan DAP sekarang ini boleh dibaratkan sebagai ‘indah khabar dari rupa’ kerana berdasarkan maklum balas yang diterima terdapat banyak rungutan daripada rakyat Pulau Pinang yang menyatakan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Berdasarkan perkembangan itu, beliau yakin Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang untuk kembali memerintah di negeri itu.
“Tapi kita mesti terus bersatu memberi sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kita jangan biar sesiapa pun membawa unsur-unsur perpecahan dalam UMNO,” katanya.
Sementara itu, ketiga-tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tanjung menyatakan ikrar menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai presiden UMNO dan perdana menteri.
“Mereka semua berikrar dengan rela hati dengan penuh keikhlasan (menyatakan) sokongan mereka terhadap Datuk Seri Najib…saya amat besar hati (untuk) sampaikan pesan mereka kepada presiden,” katanya.
- FMT