Sunday 11 September 2016

Pemuda Umno bantah digantung 6 tahun

Mohd Rafiq
PETALING JAYA: Seorang ahli Pemuda Umno hari ini mendakwa keahliannya digantung daripada parti untuk selama 6 tahun kerana satu acara membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mohd Rafiq Naizamohideen berkata jawatannya dalam exco Pemuda Umno juga ditarik balik.
Katanya, beliau bercadang untuk membuat rayuan terhadap tindakan parti itu yang dikatakan berpunca daripada cubaan untuk sabotaj Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Rafiq berkata tindakan itu diambil susulan beliau sepatutnya terbabit dalam rancangan mengadakan forum Bicara Negarawan, tahun lalu yang menampilkan Dr Mahathir.
Pada masa itu, bekas perdana menteri itu dalam jelajah ke seluruh negara menghadiri forum umum dalam kempen menyingkirkan Najib sebagai presiden dan perdana menteri.
Rafiq dipetik sebagai berkata Dr Mahathir dijadualkan mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai masa depan Umno dan PRU14.
Bagaimanapun, katanya acara itu tidak jadi diadakan dan jemputan awal kepada Dr Mahathir dibuat ketika beliau masih ahli Umno.
Dr Mahathir keluar parti pada awal tahun ini.
Rafiq berkata beliau kemudian mendesak penganjur membatalkan acara itu kerana bimbang mereka tidak akan dapat mengawal apa yang Dr Mahathir akan cakap, lapor Malaysiakini.
Katanya, beliau kemudian dirujuk kepada jawatankuasa disiplin Umno selepas Idris membangkitkan lagi isu berkenaan, setahun selepas itu.
Rafiq mendakwa Umno mengenakan pendakwaan terpilih, berkata ada pemimpin lain yang melakukan kesalahan lebih teruk tetapi tiada tindakan dikenakan.
“Saya yakin ‘dosa’ saya tidak sebenar pemimpin Umno yang didakwa terbabit dalam politik wang, atau ahli Parlimen Umno yang cuba memalukan Yang di-Pertuan Agong dalam isu tertentu,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Rafiq berkata beliau akan membuat rayuan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Umno Melaka Zali Mat Yasin kerana menuduhnya berada di pihak pembangkang.
- FMT

No comments: