Sunday 25 September 2016

Pemimpin BN, pembangkang diajak promosi BERSIH 5

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempelawa ahli politik kerajaan dan pembangkang untuk menyertai konvoi mempromosi perhimpunan mereka pada 19 November ini.
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata pelawaan itu memang sentiasa dibuat pertubuhan berkenaan sebelum ini.
"Kami sudah menjemput mereka, sama ada dari BN atau pembangkang. Kami memang sentiasa berbuat begitu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Pada 14 September lalu Malaysiakini menyiarkan laporan BERSIH menetapkan 19 November sebagai tarikh mengadakan perhimpunan kelima mereka dengan tema Satukan Tenaga, Malaysia Baru!
Untuk menggerakkan penyertaan massa BERSIH akan mengadakan konvoi selama tujuh minggu ke seluruh negara mulai 1 Oktober ini bagi menyampaikan maklumat mengenai perhimpunan itu.
BERSIH 5 dijangka lebih menarik kerana untuk kali pertama ia berlangsung selepas beberapa bekas pimpinan atasan Umno mula bergerak dalam sebuah parti berdaftar dan secara jelas bertujuan mengalahkan BN.
Maria berkata antara tokoh yang akan terbabit dalam konvoi berkenaan ialah bekas perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.
Kedua-dua mereka pernah berseteru dan menjadi musuh ketat suatu ketika dulu.
Bagaimanapun Maria menafikan khabar angin yang kononnya mendakwa Dr Mahathir dan Lim dilantik mengetuai konvoi masing-masing di wilayah utara dan selatan.
"Semua pihak dialu-alukan menyertai program ini namun hanya mereka yang bersetuju dengan tuntuan BERSIH akan membuat ucapan kepada umum," katanya.
Konvoi BERSIH 5 akan dilancarkan serentak di enam wilayah Kangar, Perlis untuk wilayah utara; Johor Bahru, Johor (selatan), Kota Bharu Kelantan (timur); Lumut, Perak (barat) Sandakan, Sabah dan Miri, Sarawak di Malaysia Timur.
Ia akan berakhir dengan perhimpunan BERSIH 5 pada 19 November ini di Kuala Lumpur.
Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut kerajaan melaksanakan pilihan raya yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, memperkasakan Sabah dan Sarawak dan mendapatkan hak untuk berbeza pendapat.
Ia juga dibuat bagi mendesak supaya Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan ekoran dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengannya.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku membabitkan dana awam seperti yang didakwa ke atasnya.
Kali terakhir BERSIH diadakan adalah pada tahun lalu dan menarik kira-kira 100,000 orang di tengah Kuala Lumpur.
- MK

No comments: