Friday 30 September 2016

Nampaknya Selangor tidak bersedia hadapi pencemaran air, kata Noh Omar

noh-omar_water_selangor_600
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor nampak tidak faham mencegah lebih baik daripada mengubati, dalam menangani kejadian pencemaran di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih baru-baru ini, kata Tan Sri Noh Omar.
Bercakap di sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata penjelasan Kerajaan Negeri mendedahkan mereka tidak bersedia menangani masalah itu.
“Jika kamu gagal merancang, kamu merancang untuk gagal.
“Respon Kerajaan Selangor iaitu mencari punca pencemaran bekalan air menunjukkan mereka tidak ada rancangan pencegahan. Sepatutnya mereka menjalankan kajian, kemuka garis panduan jelas, dan tidak membenarkan kilang beroperasi di tepian sungai,” katanya.
Noh menjawab laporan memetik Exco Elizabeth Wong yang berkata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menguruskan isu pencemaran air itu sejak kegagalan fungsi loji 22 September lepas.
Katanya agensi berwajib bekerja siang malam untuk menyiasat punca pencemaran bau. Beliau tidak menolak kemungkinan sabotaj, dan berikrar tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Pencemaran itu menyebabkan ribuan pengguna di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air sepanjang minggu.
Noh, yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya sudah mempunyai beberapa langkah penyelesaian, kerana bukan kali pertama kejadian pencemaran air berlaku.
“Macam lah perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Dulu mereka salahkan Syabas, sekarang mereka yang uruskan air jadi tidak ada alasan.
“Mereka (parti pemerintah) tidak akan mengakui kesalahan. Mereka tuding jari kepada pihak ketiga kerana mahu tunjukkan kepada rakyat kononnya mereka lah yang paling baik.”
- FMT

No comments: