Saturday 24 September 2016

Skim kawalan harga akan diumum 2 minggu sebelum Deepavali

Hamzah Zainuddin
SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengumumkan skim kawalan harga sempena Deepavali Oktober ini, selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk industri.
Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata kementerian itu sedang membuat penelitian terhadap senarai barangan keperluan utama rakyat khususnya penganut agama Hindu.
“Kita kena buat analisis, kajian tentang kedudukan harga barang-barang yang akan kita umumkan nanti.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan mereka yang terlibat dalam industri, kita akan umumkan (skim kawalan harga) 2 minggu sebelum Deepavali,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan perhimpunan syarikat keahlian gaya hidup dan perjalanan antarabangsa, World Ventures di Stadium Malawati di sini, malam tadi.
Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dilaksanakan dan dikuatkuasakan KPDNKK setiap tahun di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (dahulu Akta Kawalan Harga 1946) yang memperuntukkan denda RM100,000 dan penjara atau kompaun
maksimum RM50,000 bagi individu.
Bagi syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan pula akan dikenakan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
Selain Depavali, skim itu turut dikuatkuasakan untuk perayaan Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Krismas, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.
- Bernama

No comments: