Monday 19 September 2016

Dr Mahathir, Anwar buat kenyataan bersama bidas Najib

mahathir-anwar-najib
PETALING JAYA: Dua minggu selepas pertemuan bersejarah mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengeluarkan kenyataan bersama pertama mereka membidas Datuk Seri Najib Razak kerana memperkenalkan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita perhatikan hampir semua institusi utama negara seperti polis, SPRM, Peguam Negara dan Bank Negara telah pun dikuasai sepenuhnya oleh beliau,” kata kedua-dua tokoh yang pernah mengetuai pentadbiran kerajaan pada 1990-an itu.

Ia merupakan kenyataan pertama mereka susulan pertemuan di Mahkamah Tinggi pada 5 September, 18 tahun selepas Anwar dipecat Dr Mahathir sehingga mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata beliau hadir memberikan sokongan kepada Anwar, yang mahu mencabar pelaksanaan Akta MKN yang dikritik hebat kerana memberikan kuasa luas kepada perdana menteri.

Dalam kenyataan mereka hari ini, Dr Mahathir dan Anwar berkata Akta MKN menidakkan hak sesiapa yang terbunuh “sama ada pegawai atau orang awam diperiksa (post-mortem) untuk menentukan sebab-sebab kematian berlaku” walaupun terjadi salah-laku.

“Akta ini telah mengenepikan langsung kuasa dan peranan yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam isu penting keselamatan dan kebebasan rakyat Negara ini.

“Oleh kerana krisis negara inilah kami bersama dengan rakyat menentang akta ini dan membawa perubahan dan reformasi demi menyelamatkan hak dan kebebasan rakyat dan memajukan semula negara tercinta kita ini,” kata mereka.

- FMT

No comments: