Monday 26 September 2016

Parti baharu tidak akan merujuk pemimpin di KL, kata Shafie

shafie-afdal
PETALING JAYA: Selepas menyerahkan borang permohonan parti baharu yang bakal berpengkalan di Sabah, bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal berkata pentas politik baharu itu bakal mempunyai acuan sendiri bebas daripada pengaruh Semenanjung Malaysia.

“Kita akan putuskan dasar parti, siapa yang menjadi calon dan hala tuju dengan acuan sendiri dan tidak merujuk dengan mana-mana pemimpin di Kuala Lumpur,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Aidiladha di Kampung Damai Tawau, Sabtu lepas.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Mayog, Terrence Siambun, Presiden Kadazan Dayak Murud Malaysia, Datuk Peter Anthony dan bekas naib presiden PKR, Darell Leiking.

Darell yang mengisytiharkan keluar PKR minggu lalu mengumumkan sokongan untuk parti baharu Shafie, yang yang belum diumumkan namanya.

Menurut Darell, beliau mahu meneruskan apa yang diperjuangannya melalui PKR selama ini dengan menyertai parti berlandaskan rakyat Sabah.

Dalam ucapannya, Shafie berkata parti yang bakal ditubuhkan itu akan mengalu-alukan keahlian semua kaum di Sabah.

Beliau yang juga ahli Parlimen Semporna berkata tidak berniat memusuhi sesiapa.

“Perjuangan parti ini bukan untuk menanam kebencian kepada pemimpin sedia ada atau bersifat politik kenegerian sebaliknya ianya bagi memperjuangkan hak rakyat dan akan mengubah landskap politik Sabah.

“Kita percaya dengan kuasa rakyat dalam menentukan kerajaan,” katanya.

Shafie dan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin merupakan 2 menteri yang mengkritik Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1MDB, sehingga membawa kepada penyingkiran mereka daripada kabinet.

- FMT

No comments: