Monday 19 September 2016

Dr M hanya serah 45 tandatangan kepada Agong, kata Raja Petra

raja-petra-mahathir
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hanya membawa Deklarasi Rakyat asal mengandungi 45 tandatangan ke Istana Anak Bukit, Khamis lalu, kata Raja Petra Kamarudin.

Blogger itu menerusi artikelnya di Malaysia Today mempersoalkan apa yang berlaku kepada lebih sejuta tandatangan diuar-uarkan diperolehi daripada rakyat.

Bekas perdana menteri itu gagal menemui Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk mengemukakan deklarasi itu yang mahu campur tangan Agong untuk menyingkirkan perdana menteri.

“Tiba-tiba, dua hari lalu, Mahathir akhirnya dibenarkan mengadap baginda. Dan Mahathir bawa satu salinan asal Deklarasi Rakyat dengan 45 tandatangan dalam satu sampul kecil untuk diserahkan kepada Agong,” tulisnya semalam dalam artikel bertajuk ‘Bagaimana Agong Mengakali Mahathir’.

“Tetapi, kenapa Deklarasi Rakyat dengan 45 tandatangan asal, ada di antaranya seperti Datuk Tamrin Ghafar yang sejak itu mengumumkan mereka tarik diri? Apa berlaku kepada baki 1.3 juta atau 1.4 juta tandatangan? Kenapa ia tidak diserahkan kepada Agong?” soalnya.

Raja Petra berkata, Dr Mahathir hanya menyerahkan “satu sampul kecil tidak mengandungi 1.4 juta tandatangan seperti didakwa” yang mungkin menjadikannya satu dokumen “setebal sebuah dan mungkin beberapa jilid ensiklopedia”.

Jumaat lalu, Raja Petra menyifatkan pertemuan dengan Agong yang dinanti-nantikan itu sebagai “satu bencana” buat Dr Mahathir, apabila Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mempersoalkan kesahihan 1.3 juta atau 1.4 juta tandatangan diperolehi daripada orang ramai seperti diumumkannya.

Beliau memulakan Deklarasi Rakyat pada Mac lalu dan ia ditandatangani secara terbuka oleh 45 individu terdiri daripada beberapa penyokong Dr Mahathir yang kebanyakannya ahli politik pembangkang dan beberapa aktivis sosial.

Sebuah kempen dilancarkan untuk mendapatkan tandatangan orang ramai yang kemudiannya mencetuskan kontroversi di mana kempen itu didakwa membeli sebuah pangkalan data nama dan butiran peribadi daripada seorang pengaturcara komputer, menyebabkan kesahihan senarai itu diragui.

Raja Petra berkata, penyerahan kononnya deklarasi itu kepada Agong hanyalah publisiti untuk Dr Mahathir dan kekurangan gambar publisiti adalah tanda kegagalan bekas perdana menteri itu.

Beliau berkata, tujuan pertemuan itu dibenarkan adalah untuk menyangkal dakwaan Dr Mahathir pada Mei lalu yang Agong “diletakkan di bawah tahanan rumah” oleh kerajaan persekutuan.

Raja Petra memetik Dr Mahathir sebagai berkata: “Kami sudah dapat 1.4 juta tandatangan dan kami cuba tunjukkan kepada Agong. Tetapi, setakat ini, saya tidak dapat bertemu Agong kerana kemungkinan baginda diletakkan di bawah tahanan rumah. Raja-raja Melayu mungkin dihadkan di istana mereka.”

Beliau berkata, dalam pertemuan Khamis lalu, “Mahathir sedar ia bukan misi berjaya, tetapi misi gagal”.

- FMT

No comments: