Wednesday 21 September 2016

Janganlah nak ajar saya politik, Nazri bidas MCA - Video

nazri-mca
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz sekali lagi melancarkan serangannya ke atas MCA dengan berkata parti komponen Barisan Nasional (BN) itu tidak ada hak memberitahu beliau apa yang perlu dibuat.

Malah, ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata MCA di kawasannya pernah memulaunya pada pilihan raya umum 2013 lalu, dan menghasut pengundi Cina tidak menyokongnya.

“Mengapa pula saya mesti ikut apa yang MCA hendak dalam saya menjalankan tanggungjawab saya?” soal Nazri ditemui FMT.

“Saya tidak langsung terhutang budi dengan MCA dalam pilihan raya di kawasan Parlimen Padang Rengas.”

Nazri berkata boikot yang ditaja MCA masih belum ditamatkan.

“Sebab itu, saya tidak peduli apa mereka cakap,” katanya.




Kenyataan Nazri kali ini merupakan yang terbaru dalam siri perang mulut dengan pemimpin MCA, selepas mendakwa parti itu cenderung tidak membenarkan calon tempatan bertanding di bawah tiketnya.

Ia mengundang kritikan daripada Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, yang menyelar Nazri sebagai bongkak, dan berkata beliau lebih rapat dengan DAP.

Terbaru, Pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Lim Chin Fui mempersoalkan Nazri yang kelihatan mesra dan berpelukan dengan Ahli Parlimen Seremban dari DAP, Anthony Loke, ketika lawatan ke Jelebu Sabtu lalu.

“Dia (Loke) datang kerana menghormati saya. Apa salahnya?” tanya Nazri.

Katanya pendirian MCA itu sesuatu yang “bodoh”.

“Inilah sebab rakyat khususnya masyarakat Cina tak sokong MCA, kerana mempunyai pemimpin seperti ini yang tidak faham tentang hubungan antara manusia, tentang tanggungjawab saya sebagai seorang menteri.

“Selepas pilihan raya apabila rakyat membuat keputusan, kita kena ketepikan perbezaan politik kita, tetapi bekerjasama untuk kepentingan rakyat.”

Nazri berkata tidak ada peraturan menghalang ahli BN mesra dengan pembangkang.

“Sejak bila ada syarat ini? Janganlah nak ajar saya (kononnya) dalam BN tak boleh berpeluk dengan pembangkang, tak boleh sembang dengan pembangkang. Kamu ada masalahg dengan DAP, itu hal kamu,” kata Nazri.

Katanya, beliau seorang yang mesra rakyat dan lebih bijak daripada Lim yang menurutnya berfikiran sempit.

“Saya tidak kira Islam ke, tak Islam ke, Melayu Cina atau India. Orang yang baik saya, luar daripada soal politik, saya jumpa saya peluk. Dia pun peluk saya.

“Saya peduli apa MCA, saya fikirkan rakyat,” kata Nazri, yang menambah sekiranya kemesraan yang ditunjukkan terhadap Loke boleh menguatkan sokongan kaum Cina kepada DAP, MCA perlu mengiktiraf dirinya kerana berpengaruh di kalangan orang Cina.

- FMT

No comments: