Monday 26 September 2016

NGO bantah perhimpunan Bersih 5 kacau ketenteraman awal

bersih-5
SUBANG JAYA: Dua badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 Nov depan.

Dua NGO berkenaan adalah Persatuan Sahabat Peniaga-Peniaga Subang Jaya (PSPPSJ) dan Persatuan Kebajikan Warga Emas dan Veteran Puchong (PKWEVP).

Pengerusi PSPPSJ C. Mariappan berkata sekiranya perhimpunan itu diadakan, ia secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan peniaga kecil mahupun restoran di sekitar ibu kota.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat 2 laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini.

Sementara itu, wakil PKWEVP Izham Ishak berkata NGO lain, kumpulan Baju Merah juga akan cuba untuk menimbulkan provokasi bagi mengadakan perhimpunan, jika perhimpunan Bersih 5 diadakan.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku di negara ini kerana ia akan menjejaskan kesejahteraan dan ketenteraman awam di negara ini.

“Sebagai contoh, sekiranya ada rakyat Malaysia yang ingin keluar bersama keluarga mereka pada hujung minggu pasti akan berasa tidak selamat dan diancam,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah memberitahu sidang media mengenai rancangan pihaknya untuk mengadakan acara konvoi di seluruh negara menjelang perhimpunan itu yang dijadual diadakan pada
November nanti.

- Bernama

No comments: