Monday, 19 September 2016

Gerakan sukar menang jika cadangan SPR dilaksana

mah-siew-kong-gerakan-spr
JOHOR BAHRU: Langkah persempadanan semula dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikhuatiri akan menjejaskan peluang parti Gerakan untuk mengekal dan memenangi kerusi yang ‘telah lama diusahakan’.

Presidennya, Datuk Mah Siew Keong berkata antara kerusi yang diharapkan untuk dimenangi pada pilihan raya akan datang ialah kerusi melibatkan kawasan Parlimen Beruas (kini ditukar kepada Ayer Tawar), Teluk Intan dan Taiping di Perak.

“Kita telah membuat simulasi di beberapa kawasan, yang mana kita telah bekerja keras dan jangkakan ada peluang kemenangan. Namun, selepas pertukaran sempadan, kita bimbang mungkin ia terjejas.

“Oleh itu, parti akan bermesyuarat pada minggu depan, dengan ketua-ketua cawangan sudah pun diarah untuk membuat laporan dan selepas itu, barulah bantahan dikemukakan kepada SPR,” katanya sebagai mengulas isu itu dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Johor.

Mah berkata tindakan SPR itu tidak adil dan merugikan.

SPR baru-baru ini mengumumkan untuk melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Negeri-Negeri Semenanjung dan Sabah, bermula pada Khamis (15 Sept).

Kajian itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembangaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.

- Bernama
Post a Comment