Friday 23 September 2016

Parti Shafie: "Lebih Banyak, Lebih Meriah" - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Parti tempatan sedia ada di Sabah yang bakal diterajui Datuk Seri Shafie Apdal tidak akan menjejaskan sokongan terhadap Umno di negeri itu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa menyambut baik langkah itu dan berharap parti tersebut akan dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

"Di Malaysia, terdapat banyak parti politik dan rakyat boleh membuat keputusan mereka sendiri.

"Lebih banyak, lebih meriah," kata Annuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, Khamis.

Shafie, yang merupakan bekas naib presiden Umno hadir ke Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS) di Putrajaya pada Khamis bagi membincangkan tentang keputusan untuk mengambil alih sebuah parti di Sabah.

Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking keluar dari PKR untuk menyertai parti berkenaan.

Turut bersama mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong yang keluar dari Umno.

Annuar berkata, Barisan Nasional (BN) mempunyai 13 parti komponen dan parti baharu itu tidak menyebabkan perpecahan dalam undi rakyat.

"Saya tak fikir ia akan menjadi masalah selagi mereka mengikut undang-undang.

"Beliau (Shafie) kini mempunyai platform yang tepat sebagai ahli politik untuk melontarkan pandangan beliau dan menjalankan aktiviti berpolitik," katanya.

- mStar

No comments: