Monday 19 September 2016

1MDB bukan masalah besar, kata Ahmad Maslan

maslan
PETALING JAYA: Datuk Ahmad Maslan berkata skandal syarikat pelaburan negara 1MDB bukan masalah besar, dan berpendapat menguruskan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih mencabar.

Bekas timbalan menteri kewangan itu berkata beliau sebagai antara individu yang gigih memberi penerangan kepada rakyat mengenai GST sebelum pelaksanaannya pada 1 April 2015, menerima pelbagai kecaman dan tohmahan.

Ketika isu GST heboh diperkatakan dengan ramai yang menolak pelaksanaannya, Ahmad teruk dikecam sehingga ada yang menggelarnya ‘bodoh’, malah gambarnya di media sosial sedang memasak nasi goreng turut dijadikan modal kutukan terhadapnya.

GST diperkenalkan pada pada kadar 6% bertujuan menambah baik sistem cukai jualan dan perkhidmatan.

Tetapi, Ahmad yang kini timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri berbangga kerana GST terbukti memberi manfaat kepada rakyat dan menjadi penyelamat kepada ekonomi negara.

“1MDB bukanlah masalah besar, tetapi saya percaya apa yang berlaku terhadap syarikat itu ada hikmah dan pengajarannya.

“Saya tidak menganggap sesuatu itu sebagai masalah sangat (ketika mengendalikan GST) tetapi lebih kepada cabaran yang perlu saya tempuhi sebagai seorang timbalan menteri.

“Apa yang berlaku juga penuh dengan hikmah dan pengajaran. GST lebih berat cabaran kepada saya secara peribadi jika dibandingkan dengan 1MDB,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tekanan dihadapi bekas menteri kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mengakui tertekan dengan isu 1MDB hingga mendorong kepada peletakan jawatannya pada Julai lalu.

Bagaimanapun, ahli Parlimen Pontian itu berkata ketika menjawat jawatan timbalan menteri kewangan, situasi beliau dan Husni berbeza kerana lebih banyak memfokuskan isu GST berbanding 1MDB.

Katanya, ketika memegang jawatan itu beliau juga tidak terlepas daripada serangan pembangkang yang mendesaknya memberi jawapan mengenai isu 1MDB.

“Ada juga saya jawab di Dewan Rakyat tentang 1MDB dan pembangkang cuba ambil tindakan terhadap saya melalui usul khas. Kononnya, saya tidak menjawab dengan betul dan mengelirukan Dewan Rakyat.

“Tetapi saya didapati tidak ada niat untuk mengelirukan Dewan dan episod itu akhirnya selesai,” katanya.

Husni baru-baru ini mendedahkan beliau mengalami tekanan darah tinggi selama 5 jam pada April lalu kerana begitu tertekan ketika menguruskan kontroversi 1MDB, sebelum meletakkan jawatan, lapor Sinar Harian.

No comments: