Wednesday 28 September 2016

Malaysia tak bakar hutan tanam kelapa sawit, Najib beritahu Jerman

najib-sawit
BERLIN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan kepada penggubal undang-undang Jerman bahawa kaedah ‘tebang dan bakar’ tidak diamalkan dalam industri minyak sawit Malaysia.

Malaysia, katanya, mengguna pakai pembangunan lestari dan mereka boleh datang dan melihat sendiri perkara itu.

“Kami komited kepada pembangunan lestari dan tidak ada amalan ‘tebang dan bakar’,” kata Najib pada sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala dengan Canselor Jerman Angela Merkel, di sini, hari ini.

“Keadaan sebenar hanya boleh dinilai apabila anda melihat sendiri dan saya mempelawa kumpulan ahli parlimen untuk melawat Malaysia dan melihat bagaimana kami menguruskan industri perladangan,” katanya.

Beliau berkata pembangunan lestari penting bagi Malaysia kerana kira-kira 500 ribu pekebun kecil bergantung kepada industri minyak sawit dan berjuta rakyat Malaysia keluar daripada kemiskinan hasil daripada industri itu.

Malaysia, yang merupakan pengeluar kedua terbesar minyak sawit di dunia, komited untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon dioksidanya sebanyak 40% menjelang 2020, katanya.

Merkel mengesahkan bahawa perdana menteri ada mempelawa ahli Parlimen Jerman.

“Malaysia memberi jaminan kepada kami yang dasar ini (tebang dan bakar) adalah perkara lampau dan tidak lagi berlaku dan ia mempelawa ahli parlimen melawat Malaysia dan melihat sendiri kemajuan yang telah dicapai,” katanya.

Semasa sidang media itu, Najib turut mempelawa Merkel melawat Malaysia.

- Bernama

No comments: