Wednesday 28 September 2016

Bekalan air Selangor pulih sepenuhnya esok

Air Selangor Amin Lin Abdullah
KUALA LUMPUR: Bekalan air kepada 337,000 akaun pengguna yang terjejas sejak 22 September lalu ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dijangka pulih sepenuhnya esok.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata loji yang dirawat akibat pencemaran bau air mentah itu kini pulih di tahap 97%.
Namun katanya pemulihan bekalan air ke beberapa kawasan di penghujung sistem agihan air dan kawasan tinggi memerlukan lanjutan masa dan dijangka pulih sepenuhnya lewat tengah hari pada Khamis.
“Kini hanya 35,000 akaun di beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat dan Sepang yang masih mengalami gangguan bekalan air seperti Hospital Serdang, IOI City Mall, Bandar Sunway Semenyih dan Cyberjaya.
“Kami akan meninjau semula keadaan pemulihan keseluruhan pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amin berkata langkah pemulihan sedang giat dijalankan di kawasan tersebut manakala bantuan air kecemasan melalui lori tangki air dan sedang dihantar ke kawasan terlibat.
“Laporan ujian air terawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih menunjukkan kualiti air terawat mematuhi kesemua parameter yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Katanya, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit mySYABAS atau melayari www.syabas.com.my.
- Bernama

No comments: