Tuesday 20 September 2016

Biar merah dan kuning bertembung, kata Jamal

Jamal-Yunos_bersih_merah_600
KUALA LUMPUR: Ketua Baju Merah Datuk Jamal Yunos hari ini berkata beliau akan mengabaikan sebarang nasihat diberikan polis ketika menganjurkan himpunan balas terhadap perhimpunan Bersih 5 yang akan datang.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata tahun lalu kumpulan itu mengikut nasihat polis tetapi kali ini akan meneruskan untuk mengadakan himpunan balas itu jika Bersih 2.0 gagal mematuhi undang-undang.
“Biar merah dan kuning bertembung.
“Bersih dan geng, tunggu kami dan lihat apa akan terjadi,” katanya merujuk kepada tanda warna Bersih.
Pada 2015, Baju Merah memutuskan untuk menangguhkan perhimpunannya untuk membalas Bersih 4 susulan nasihat daripada polis.
Pada 16 September tahun lalu, Baju Merah akhirnya mengadakan himpunan “menegakkan maruah Melayu” sebagai respons terhadap penyertaan ramai orang Cina dalam Bersih 4.
Jamal berkata demikian kepada wartawan selepas membuat laporan polis terhadap pengerusi reformasi pilihan raya itu, Maria Chin Abdullah, di balai polis Dang wangi, di sini.
Terdahulu, Jamal mendesak Maria menghormati Akta Perhimpunan Aman dan mengadakan Bersih 5 di stadium, bukannya di tempat lokasi pilihan Bersih 2.0.
“Saya beri amaran kepada Maria Chind an geng, hormati undang-undang kerana kita negara aman.
“Kita semua di sini boleh pergi beli-belah atau ke mamak, atau ke mana saja kita mahu. Tetapi dengan haiwan sarkas sepertinya, keamanan negara akan terancam.
“Kami kutuk seruannya untuk mencemar demokrasi berparlimen dalam negara ini dan menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Jamal berkata keputusan untuk membuat laporan polis bagi pihak “Gabungan NGO” itu kerana berpendapat Maria cuba menghasut rakyat menggulingkan Najib menerusi bantahan jalanan.
- FMT

No comments: