Tuesday 20 September 2016

Kadar maksimum 6% untuk pinjaman perumahan dari pemaju

noh-omar
PETALING JAYA: Kerajaan berkemungkinan menetapkan kadar faedah pinjaman maksimum 6% bagi pinjaman perumahan yang ditawarkan pemaju, lapor The Star Online.
Bagaimanapun, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata kementeriannya masih menunggu maklum balas mengenai kadar faedah yang munasabah.
Berdasarkan maklum balas awal, Noh berkata pemaju seharusnya mengenakan faedah pada kadar 6% sahaja.
Mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011, peminjam wang boleh dikenakan faedah maksimum 18% tanpa sebarang cagaran atau 12% cagaran.
Noh berkata beliau sendiri akan menetapkan kadar faedah itu seperti mana Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memberikan menteri kuasa membuat keputusan terhadap kadar faedah yang boleh diterima dan tempoh pembayaran pinjaman.
Noh menegaskan cadangan pinjaman oleh pemaju hanya bantuan tambahan kepada pembeli rumah memperoleh baki pinjaman yang tidak diberikan oleh bank.
“Secara dasarnya, bank tidak akan memberi pinjaman 100% kepada pembeli rumah. Biasanya, hanyalah 70% hingga 80%.
“Dari mana pembeli rumah hendak dapatkan baki 20% atau 30%? Mereka pinjam daripada sanak saudara, keluarga, rakan-rakan atau membuat pinjaman peribadi,” katanya.
Noh yang juga pengerusi Umno Selangor percaya pemaju yang mempunyai lesen pinjaman wang tidak berhasrat meraih keuntungan daripada faedah sebaliknya menjual hartanah dengan memberikan pinjaman. Ia juga membantu pembeli rumah mendapatkan wang pendahuluan.
Sebelum ini, Noh dikecam selepas mencadangkan pemaju dibenarkan memberi pinjaman perumahan dengan lesen yang sah supaya memudahkan pembeli rumah yang tidak mendapat kelulusan pinjaman bank.
Tindakan Noh mendapat kritikan daripada persatuan pengguna, ahli politik termasuk penyokongnya sendiri dalam Umno yang khuatir pembeli akan hilang perlindungan selain terperangkap dalam hutang jangka masa panjang.
- FMT

No comments: